Thursday, December 30, 2010

  Kudapan waktu cuti

Cuti sekolah panjang begini memang banyak aktiviti boleh dilakukan bersama anak-anak.  Antara aktiviti yang boleh dimanfaatkan adalah membuat biskut yang mudah dan enak ini.  Kali ini umi buat 2 adunan, rasanya boleh tahan 3 hari je biskut ni sebab yang 'tukang makan' ramai!  Umi nak buat eksperimen sikit, dengan menambahkan 3 sb tepung naik sendiri ke dalam adunan.  Nak uji samada biskut akan jadi lebih rangup atau sebaliknya.  Jom kita cuba!

Bahan:
2 cawan tepung gandum serbaguna (umi tambah 3 sb tepung naik sendiri)
1/2 sudu teh soda bikarbonat (umi guna 1/4 st shj)
1/2 sudu teh garam
3/4 cawan mentega
1 cawan gula perang
1 sudu teh esen vanilla
1 biji telur
1 biji kuning telur
1 cawan semisweet chocolate chips (kali ni guna coklat dwicolor)
1 cawan walnut (dicincang)-umi guna kacang hazel dan almond

Cara membuatnya:

1. Panaskan ketuhar pada suhu 165 darjah C.
2. Ayak tepung, soda bikarbonat dan garam. Ketepikan.
3. Pukul mentega bersama gula perang sampai kembang dan sebati.
4. Masukkan esen vanilla, telur dan kuning telur, pukul lagi sehingga berkrim.
5. Masukkan bahan-bahan yang telah diayak tadi dan gaul rata.
6. Masukkan chocolate chip dan kekacang, gaul menggunakan senduk kayu.
7. Sudukan adunan anggaran sebesar syiling 50 sen, leperkan sedikit  dan letakkan adunan ke atas dulang pembakar
8. Bakar biskut selama 15 - 18 minit atau sehingga berwarna keemasan.
9. Simpan di dalam bekas yang kedap udara apabila biskut telah sejuk sepenuhnya. 
 Hasilnya memang lumayan.  Dua adunan ini menghasilkan lebih kurang 160 keping biskut.  Hasil eksperimen kali ni biskut memang jadi lebih rangup!

Jika perlukan maklumat lanjut, sila hubungi:




Tuesday, December 28, 2010

  Chewy Gooey Brownies

Minum petang semalam umi buat brownies. Kali ini umi nak cuba resepi yang diambil dari blog resepidiana.  Dah lama simpan resepi ni, baru ada kesempatan nak mencubanya.  Alhamdulillah memang sedap sangat brownies ini, umi suka dengan rasa dan teksturnya yang garing diluar dan lembut di dalam.  Resepi di bawah ini umi copypaste dari blog resepidiana, jom la cuba!

CHEWY GOOEY YUMMY BROWNIES
Sumber : MasE
umi buat separuh adunan sahaja.
Bahan-bahannya


A
250g butter - potong kecik
400g chocolate - potong kecik

B
6 eggs
340g brown sugar
2tsp esen vanilla
20g chocolate emulco

C
80g tepung gandum } diayak
60g cocoa powder }
140g kacang walnut/pecan/almond/macadamia (optional)-bakar dan gaul bersama tepong dan koko
umi tak letak kacang sebab anak-anak kurang gemar.

Cara-caranya
1. Panaskan oven suhu 160C. Sediakan dan alas acuan ukuran 11”x11” - (mami guna "loyang cutter" 12" x 12"... dpt lah 100 ketul. )
2. Double boil bahan A (butter dan chocolate) hingga cair (mami campak je kat dlm microwave 2 minit... MMMMM banyak) , ketepikan biar suam sikit.
3. Pukul bahan-bahan B (telur, gula, esen dan chocolate emulco) hingga gula hancur - guna hand whisk saja.
4. Tuangkan adunan chocolate dan gaul sebati.
5. Masukkan tepung dan digaul lagi hingga rata. Jangan gaul terlalu lama.
6. Tuang ke dalam acuan dan bakar 160C/50 minit-1jam (bergantung pd oven).
7. Setelah masak, biarkan dalam acuan hingga sejuk. Lebih sedap kalau disimpan semalaman.
8. Sedap dimakan sama ada begitu saja atau dibubuh ganache, Boleh juga dimakan dengan icecream atau sos kastad.



Jika perlukan maklumat lanjut, sila hubungi:




Thursday, December 16, 2010

  Mencuba kelainan - aiskrim perisa mint

Anak-anak kurang gemar aiskrim berperisa mint atau pudina ni, rasa macam ubat gigi katanya.  Umi saja nak mencuba sedikit kelainan.  Apakata kita cuba aiskrim mint ini buat banana split?  Dengan gabungan sos strawberry, sedikit kekacang..emm mesti enak kan?

Mudah saja nak sediakan resepi ni, cuma tambahkan pewarna makanan dan sedikit perisa mint. 

Jika perlukan maklumat lanjut, sila hubungi:




Wednesday, December 15, 2010

  Aiskrim perisa mocha

Atas permintaan, umi tayangkan di sini aiskrim homemade tempohari.  Untuk perisa mocha ini umi cuma tambahkan 1/2 cawan susu segar perisa coklat dan perisa mocha.  Tambahan ini dimasukkan ketika membancuh aiskrim buat kali kedua iaitu setelah aiskrim dibiarkan dalam peti beku selama 5 jam.


Umi juga masukkan lapisan coklat yang dicairkan (secara double boiler) ke dalam aiskrim ini.  Jadi bila aiskrim ini beku sepenuhnya setelah dibiarkan semalam dalam peti beku, kita akan dapat menikmati aiskrim mocha dengan cebisan coklat yang enak.  Jemputlah rasa!

Jika perlukan maklumat lanjut, sila hubungi:




Wednesday, December 8, 2010

  Kelahiran baby baru

Alhamdulillah yang ditunggu sudah tiba! Setelah menunggu hampir 39 minggu akhirnya baby Imran pun lahir ke dunia disambut gembira terutama oleh kakak Syakirah yang saban hari bertanya bila baby nak keluar.

Jika perlukan maklumat lanjut, sila hubungi:




Thursday, December 2, 2010

  Anak-anak dan Solat

Firman ALLAH SWT :


Maksudnya : “Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, yaitu Al Kitab (Al Qur'an) dan dirikanlah salat. Sesungguhnya salat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (salat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadah-ibadah yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.” ( Surah al Ankabut ayat 45 )



Nasihat orang-orang lama; melentur buluh biar dari rebungnya.  Begitu juga dengan solat.  Anak-anak wajar didedahkan dengan ibadat solat sejak mereka di peringkat bayi lagi.

Biarpun hanya ikut-ikutan, lama-lama akan jadi kebiasaan dan rutin.  Seterusnya baru menjadi amalan dan rasa berdosa jika ditinggalkan.  Tak perlu menunggu usia 7 tahun baru nak perkenalkan mereka dengan solat.

Antara gelagat yang umi suka perhatikan apabila Ammar dan Faisal solat ialah mereka berdua ni suka bersaing; nak minta Allah sayang dia lebih.  Satu hari tu Ammar macam biasa solat Zohor 4 rakaat, tapi Faisal tambah jadi 5 rakaat dengan alasan supaya Allah lebih sayangkan dia!

Ammar ni satu masalah dia susah nak ingat bilangan rakaat, jadi setiap kali nak solat dia akan tanya adiknya Faisal, "Ical, Asar berapa rakaat?"  Hampir setiap kali macam tu, kadang naik fed-up juga Faisal nak jawab "Apalah Ammar ni itu pun tak tahu ke?".

Satu malam waktu maghrib Ammar dah terlalu penat dan mengantuk.  Langsung dia solat Isya' selepas selesai solat maghrib tanpa menunggu masuk waktu Isya'.  Tak sempat umi nak tegur Ammar dah terlena. Alahai anak..macam-macam kes ada..  tak pe lah asalkan niat nak solat tu ada, sempurna atau tidak itu persoalan lain.  Apa pandangan ibu-ibu semua?



Jika perlukan maklumat lanjut, sila hubungi:




Saturday, November 27, 2010

  Puding Cendol

Sudah banyak kali tertangguh nak buat puding cendol.  Cendol beli instant dari kedai je.  Dah seminggu lebih simpan cendol dalam fridge.  Kali ni mesti buat juga, bulan depan dah tak boleh nak makan puding sejuk-sejuk macam ini, nak kena berpantang makan bagai..  Jadi kena buat juga takut kempunan hehe..

Resepi puding ini memang marvelous, ramai yang dah mencuba dan memberikan maklumbalas yang memberangsangkan.  Macam biasa bila umi kurang rajin nak menaip, umi salin saja resepi di sini.  Untuk melihat resepi asal boleh ke sini MyR.  Terima kasih kak ogy kongsi resepi yang best ni!

Bahan-bahan ( 10 x 10 x 1 inci )

  • Bagi Lapisan Bawah
  • 500ml air
  • 180gm gula pasir
  • 300ml santan pekat
  • 10gm agar - agar powder
  • 500gm cendol
  • sedikit garam
  • Bagi Lapisan Atas
  • 500ml air
  • 200gm gula merah
  • 300ml santan pekat
  • 10gm agar - agar powder
  • 1 biji kuning telur
  • sedikit garam

Cara-cara

  1. Bagi Lapisan Bawah
  2. Masakkan air, agar-agar powder dan gula sehingga mendidih.
  3. Masukkan santan dan garam. Biarkan mendidih sedikit.
  4. Masukkan cendol. Kacau sedikit. Angkat. Tuangkan kedalam acuan. Tips : untuk acuan. Basahkan dengan sedikit air. Lapikkan dengan plastic (saiz plastic mestilah lebih besar dari acuan) supaya mudah keluarkan dari acuan nanti untuk dipotong.
  5. Bagi Lapisan Atas
  6. Masakan gula merah dengan sedikit air (drp 500ml dalam resepi ye) sehingga gula hancur. Tapiskan air gula.
  7. Masukkan air gula + baki air dan agar-agar powder. Masak sehingga mendidih.
  8. Kocoh kuning telur di dalam santan. Tuangkan santan kedalam adunan. Masukkan garam. Biar mendidih sekejab. Padamkan api.
  9. Tips : Sebelum tuang adunan atas, pastikan adunan bawah sudah keras dan cucuk dengan garpu di serata adunan.
  10. Tips 2 : Tuang adunan lapisan atas perlahan-lahan. Sebaik-baiknya tahan adunan dengan sudu supaya adunan jatuh dengan perlahan. 
Umi cuba ikut resepi tu betul-betul, tapi disebabkan agak kelam kabut masa nak tuang lapisan atas, hasilnya kurang menarik.  Tapi rasa puding tetap marvelous!

Jika perlukan maklumat lanjut, sila hubungi:




Friday, November 26, 2010

  Kuih Mazola kegemaran

Ini adalah resepi kuih mazola yang paling umi suka.  Tak kira musim perayaan atau tidak, umi mesti nak ada stok kuih ni.  Buatnya pun mudah, yang penting sedap dan menepati citarasa umi.  Tak sangka pula anak-anak pun suka kuih mazola ni.  Asalnya yang memperkenalkan kuih ini adalah Cik Ida.  Jadi kalau cik Ida rajin nak buat sendiri, cubalah resepi ini.  resepi asal ambil dari lilydvalley of MyR.

Bahan-bahan:
  • 200gm tepung gandum
  • 200gm kacang tanah-goreng tanpa minyak dan kisar halus
  • 100 gm gula -kisar halus
  • 1 botol kecil Minyak mazola/secukupnya
  • Kuning telur

Cara membuatnya:

  1. Di dalam mangkuk besar gaul sebati tepung, gula dah kacang kisar.
  2. Tuangkan minyak mazola sedikit sedikit dan uli adunan hingga menjadi doh yg lembut.
  3. Bentukkan doh mengikut citarasa dan susun didalam loyang yg telah di lengser dgn mentega.
  4. Sapukan atasnya dgn kuning telur dan bakar didalam oven hingga masak kekuningan.

Senang je kan?

Jika perlukan maklumat lanjut, sila hubungi:




Friday, November 19, 2010

  FAKTA BENAR -BAHAYA ROTI

Umi baru dapat maklumat ini dari blog Resepi Rahsiaku. Nak kongsikan di sini.
Moga tazkirah ini dapat memberikan suntikan motivasi kepada ibu-ibu untuk membuat roti sendiri di rumah.


Jika anda baca laporan dari CAP Pulau Pinang, rasa takut nak makan roti keluaran syarikat-syarikat yang diberitahu selepas ujikaji keatas bahan pengawet yang tidak mengikut sukatan yang dibenarkan. Tetapi kebanyakan kita sudah bertahun-tahun makan keluaran ni! Belum ada apa-apa kesan setakat ini. Terima kasihlah kita ucapkan pada CAP kerana bagitahu bahayanya roti. Kita tak ada pilihan lain kerana inilah roti yang hanya terdapat dipasaran berdekatan rumah kita. Anak-anak suka, terpaksalah beli juga. Nak buat macamana! Nak suruh isteri buat roti sendiri, alamat kebuluranlah sebab-sebab bila isteri buat roti.... jadi lempeng pulak. Jangan marah ayang! Yang penting kenyang dan baca doa makan. InsyaAllah dipeliharaNya.                                          
Oleh,S.M.MOHAMED IDRIS                                                
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)     

Untuk lebih lanjut, sila klik sini.


Jika perlukan maklumat lanjut, sila hubungi:




Monday, November 15, 2010

  Buat stok frozen doughnut

Hujung minggu baru ini umi ajak anak-anak buat stok frozen donat.  Maklumlah tak lama lagi cuti sekolah, jadi banyak masa makan-makan di rumah.  Biasalah waktu cuti begini anak-anak banyak masa di rumah, kejap je dah lapar balik.  Stok makanan sejuk-beku memang laris!  Umi lebih suka sediakan sendiri frozen food begini terutama donat, karipap, pau goreng, pau dan samosa yang menjadi kegemaran.  Sekurang-kurangnya umi tak perlu risau nak sediakan juadah minum petang, kakak Syaima' boleh tolong gorengkan frozen food ni.

Umi siapkan bahan-bahan, beri tugas mengguli ni pada mesin penguli.  Kemudian kerah anak-anak untuk menerap donat ini guna acuan.  Memang ada banyak acuan, maklumlah ramai yang nak turut serta!


 Selain guna acuan plastik berlubang yang biasa tu, umi juga buat donat bulat tanpa lubang.  Yang ini boleh dimasukkan inti seperti jem dan seumpamanya (macam donat berinti yang biasa dijual di Dunkin Doughnut tu!)

Tengok la Syakirah ni dia dah makan tiga donat, termasuk yang berkrim coklat! (tapi tak pandai nak tunjuk 3, jarinya tetap jadi empat!)

Jika perlukan maklumat lanjut, sila hubungi:




Saturday, November 6, 2010

  Tepung pelita

Sejak Ramadhan baru ini umi tak serik-serik mencuba buat tepung pelita ini.  Kadang menjadi, kadang-kadang resepi bertukar jadi kuih lompat tikam pula sebab adunan tepungnya agak keras.  Dugaan sungguh nak buat tepung pelita ini, tapi umi tak putus asa mencuba sebab ramai peminat tepung pelita kat rumah ini.  Walaupun sudah selalu buat bersama nenek di kampung, tapi bila buat sendiri kat rumah ini asyik gagal aje.

Kali ini umi dah dapat sukatan yang betul dan dapat hasilkan tepung pelita yang lembut, sedap dan menepati citarasa.

Bahan-bahan:

Lapisan bawah
1 c tepung beras
5 c air
1 sb air kapur
pes pandan
gula halus secukupnya

Lapisan atas
1 c santan
2 c air
2 sb tepung beras

Cara membuatnya:
1.  Panaskan kukusan.
2.  Sebatikan tepung beras, air, pes pandan dan air kapur.
3.  Kacau dalam kuali di atas api perlahan sehingga adunan menjadi likat dan berkilat.  Bila adunan mula meletup-letup macam kawah gunung berapi, teruskan kacau selama 3 minit lagi bagi memastikan adunan benar-benar likat.  Tutup api
4.  Masukkan gula halus ke dalam acuan daun pisang yang telah dibentukkan seperti perahu atau bekas yang sesuai.  Umi guna bekas dadih yang kecil ini sebab tak ada stok daun pisang.
5.  Curahkan adunan pandan tadi ke dalam setiap acuan tadi.
6.  Sediakan lapisan atas pula.  Sebatikan semua bahan dan kacau di dalam kuali di atas api yang perlahan hingga adunan masak dan pekat.
7.  Tuang ke atas lapisan pandan tadi.  Masukkan ke pengukus dan kukus selama 10 minit.


 sikit sangat lapis santan kat atas tu.

 Yang ini pula terlebih santan, kukus api kuat sangat agaknya lapis santan jadi berlubang-lubang.  Tak mengapa, boleh eksperimen lagi lain kali!

Jika perlukan maklumat lanjut, sila hubungi:




Thursday, November 4, 2010

  Aiskrim cepat dan sedap

Banyak resepi aiskrim homemade yang umi temui melalui Internet ini, ada yang umi sudah cuba beberapa kali dan alhamdulillah berpuashati dengan hasilnya setakat ini.  Baru-baru ini umi jumpa satu lagi resepi mudah untuk membuat aiskrim, bahannya mudah ringkas sahaja iaitu menggunakan whipped krim (non-dairy) dan serbuk creamer.  Umi gunakan 2 bahan tersebut seperti gambar di bawah:

Cara membuatnya pun ringkas sahaja.  Mula-mula sebatikan kedua-dua bahan ini.  Sukatannya dalam nisbah 2:1 iaitu 2 bahagian whipped cream dan 1 bahagian creamer.  Pek creamer dalam gambar ini 450g dan whipped cream pula 907g (ikut catitan pada kotaknya).  Kemudian putar dengan kelajuan tinggi selama 5 minit.

Bila dah jadi gebu macam ini, simpan dalam freezer selama 5 jam biar jadi separuh beku.  Selepas 5 jam, keluarkan adunan ini dan putar lagi supaya ia menjadi lebih halus dan gebu.  Boleh dimasukkan perisa yang dihajati.  Umi nak buat aiskrim lapis coklat.  Jadi umi panaskan cooking chocolate menggunakan double boiler dan tuang ke atas lapisan aiskrim ini.  Caranya mudah sahaja iaitu mula-mula masukkan sebahagian aiskrim ini ke dalam bekas yang sesuai, paipkan coklat secara sekata, kemudian lapiskan dengan aiskrim lagi.  Ulang sehingga habis.  Bila dah siap, simpan semula aiskrim ini dalam freezer biar beku sepenuhnya.  Mudahkan?

Jika perlukan maklumat lanjut, sila hubungi:




Tuesday, November 2, 2010

  Spageti tradisonal

Masakan yang ringkas dan mengenyangkan, spageti samada dimasak menggunakan resepi carbonara, bolognese atau tradisonal.  Kebetulan umi terjumpa sos spageti tradisonal jenama Kimball ini, teringin nak mencubanya.

Antara bahan-bahan yang diperlukan adalah:

500g spageti
300g daging kisar
2 ulas bawang putih - diketuk
1 labu bawang besar - dipotong dadu
1 batang lobak merah - dipotong dadu
1 tin mushroom - buang airnya, hiris kecil
1 tin sos spageti tradisional jenama Kimball
Minyak untuk menumis
Garam secukup rasa
Sedikit air

Cara membuatnya:
1.  Rebus spageti dalam air panas, toskan.
2.  Dalam periuk lain, panaskan minyak dan tumis bawang putih. Kacau sebentar.
3.  Masukkan pula bawang besar, biar agak garing.
4.  Masukkan daging kisar dan sedikit air, biar daging masak.
5.  Masukkan lobak merah, sos spageti dan garam.
6.  Biar kuah agak pekat, tutup api.
7.  Hidangkan bersama spageti tadi.


Jika perlukan maklumat lanjut, sila hubungi:




Monday, November 1, 2010

  Cinnamon rolls bersama raisin

Kali ini umi nak bereksperimen dengan resepi cinnamon yang baru umi temui dalam blog 1001resepi.  Nampak agak mudah juga penyediaannya.  Jika sebelum ini umi menggunakan resepi basic dough untuk bun, mari kita cuba resepi ini pula.

Resepi asal boleh lihat di sini. Umi copy n paste resepi tersebut untuk rujukan akan datang.
bahan-bahan;
1 cawan susu suam
2 biji telur
1/3 cawan marjerin, cairkan
4 1/2 cawan bread flour dicampur 1 sdt garam
1/2 cawan gula putih
2 1/2 sudu kecil ragi (yeast)

cara;anda boleh menggunakan bread machine jika ada...masukkan bahan mengikut peraturan dan jenis mesen anda.

saya menggunakan cake mixer dan hook menguli roti. masukkan tepung yang telah diayak ke dalam mangkuk mixer, masuk gula dan garam pada bahagian tepi tepung. lubangkan tengah tepung. letakkan yeast ke dalam lubang tersebut. pecahkan telur.....sebiji-sebiji ke dalam tepung. tuangkan susu suam keatas yeast dan jalankan mesen anda perlahan-lahan....apabila tepung telah menjadi seketul doh, keluarkan dari mangkuk dan uli sebentar...

letak semula doh ke dalam mangkuk dan dengan tuala dapur lembab tutup hingga doh kembang (dalam 30 minit. tumbuk tengah doh sekali dan uli lagi (2,3 minit).

letak doh atas permukaan bersih yang luas, taburkan tepung keatas permukaan tersebut supaya doh tidak melekat. dengan menggunakan rolling pin gelek doh selebar dan sepanjang yang boleh (jangan koyak). saiznya hendaklah bentuk segiempat bujur.
 taburkan inti sehingga rata dan memenuhi permukaan doh tersebut. mula menggulung doh seperti kita menggulung tikar, iaitu dibahagian doh yang panjang.


potong doh lebar seinchi dan susun dalam dulang pembakar yang telah dialas dengan kertas minyak. tutup dengan tuala dapur lembab hingga kembang (sekitar 20 minit) dan bakar pada suhu 180C selama 15 minit.

cream cheese frosting:
1 packet cream cheese
1/4 cawan mentega
1 1/2 cawan gula icing
1/2 sdt vanila
1/2 sdt garam

pukul cream cheese dan mentega hingga kembang. masukkan vanilla dan garam. masukkan gula ising sedikit-sedikit hingga semuanya habis...ketepikan....

keluarkan cinnabon dari oven dan sapukan icing keatasnya....sedap dimakan panas...

umi tak letak pun topping cheese ini sebab anak-anak kurang menggemarinya.


Jika perlukan maklumat lanjut, sila hubungi:




Saturday, October 30, 2010

  Siakap Masam Manis

Antara menu masakan ikan yang paling digemari anak-anak adalah ikan siakap masam manis ini.  Cara penyediaannya pun agak mudah dan cepat.  Lagipun menu ini lengkap dan seimbang dari segi kandungan zat sebab ada sayur dan ikan sekaligus.  Jadi umi panggil menu ini menu 3S (Sedap, senang dan sihat).

Jom tengok macamana umi sediakan masakan ini!

Bahan-bahan:
2 ekor ikan siakap - bersihkan,
2 ulas bawang besar - hiris bulat
5 ulas bawang merah - hiris
2 ulas bawang putih - hiris
1/2 inci halia -hiris
1 cawan sos cili
1/2 cawan sos tomato
2 sb cili boh
1 batang timun - hiris
2 biji tomato - dipotong baji
gula secukup rasa
sedikit air
Minyak untuk menumis

Cara membuatnya:
1.  Lumurkan ikan tadi dengan garam serta serbuk kunyit.  Goreng dengan minyak panas biar garing, Ketepikan sebentar.
2.  Panaskan minyak dalam kuali, tumis bawang merah dan bawang putih serta halia yang dihiris nipis tadi.
3.  Masukkan cili boh, kacau biar naik minyak.
4.  Masukkan pula bawang besar dan kacau lagi biar bawang agak layu.
5.  Masukkan kedua-dua sos cili dan sos tomato, tambah sedikit air supaya kuah tidak terlalu pekat.  Tambahkan gula secukup rasa (anggaran 2 sb).
6.  Bila kuah sudah agak pekat, masukkan timun dan tomato.  Kacau sebentar.
7.  Tutup api.  Angkat kuah tadi dan curahkan ke atas ikan yang telah diletakkan di atas pinggan hidangan yang sesuai.

Jika perlukan maklumat lanjut, sila hubungi:




Friday, October 29, 2010

  Peach Cheesecake

Bagi meraikan kepulangan seorang sahabat mujahid Aqsasyarif yang baru tiba dari Gaza Isnin lepas, abi minta umi buatkan sebiji kek.  Sahabat kami ini telah berkorban masa dan tenaga meninggalkan keluarga tersayang demi menyahut seruan jihad di bumi Palestin.  Walaupun tidak mengangkat senjata secara fizikal melawan rejim Zionis, tetapi penah lelah dan tenaga yang dicurahkan demi membela rakyat Palestin yang tertindas ini amat bermakna.  Konvoi yang disertai oleh ratusan para sukarelawan dari seluruh dunia ini mendapat liputan meluas di media cetak dan media elektronik.  Untuk mengikuti catatan kembara mereka boleh lihat di blog aqsa2gaza.

Abi bawa kek ini  untuk majlis sambutan di rumahnya malam Khamis baru ini.  Kek ini menggunakan resepi non-baked cheesecake yang pernah umi buat sebelum ini, istimewanya kali ini umi tambahkan buah peach sebagai topping.  Umi gantikan jus lemon dengan jus peach bagi menaikkan rasa masam-manis buah peach tersebut.

Jika perlukan maklumat lanjut, sila hubungi:




Thursday, October 28, 2010

  Ayam masak merah

Ini merupakan lauk yang digandingkan bersama nasi kismis semalam.  Resepi ini umi belajar dari seorang makcik yang rajin sangat masak untuk cucu-cucunya.  Ada banyak resepi ayam masak merah dalam koleksi umi, tapi resepi ini juga yang diminati oleh isi rumah umi ni.  Menurut makcik tersebut, resepi ayam masak merah ini mengikut gaya masakan orang Johor.

Bahan-bahan:
1 ekor ayam - di potong 12 bahagian, bersihkan
4 batang serai - diketuk
2 inci lengkuas - kisar
1/2 inci halia - kisar
3 ulas bawang putih - kisar
5 ulas bawang merah - kisar
3 sb cili boh - boleh tambah jika mahu lebih pedas
1 biji kelapa - ambil santan
2 sb tomato puri - umi guna sos tomato
gula pasir
air asam jawa

Cara membuatnya:
1. Goreng ayam biar garing dan ketepikan sebentar.
2. Tumis bahan yang dikisar tadi biar agak garing.
3.  Masukkan santan, kacau biar sebati.
4.  Masukkan gula, air asam jawa dan puri tomato.  Biar kuah agak pekat, kacau sekali sekala.
5.  Bila kuah sudah agak pekat, masukkan ayam yang telah digoreng tadi.  Kacau biar rata.
6.  Tutup api, hidangkan ayam dan hias dengan biji gajus.

Jika perlukan maklumat lanjut, sila hubungi:




Tuesday, October 26, 2010

  Ibadah Qurban di Luar Negara

Sempena kedatangan Aidiladha yang bakal menjelang ini, Pertubuhan IKRAM Malaysia sekali lagi menganjurkan program Qurban dan Akikah Luar Negara 1431H.  Kali ini program akan dijalankan di Vietnam, Kemboja dan Acheh.  Jadi umi ambil kesempatan ini untuk mewar-warkan peluang menambah saham akhirat melalui ibadah Qurban dan Akikah ini.

Antara dalil-dalil yang biasa kita dengar berkaitan ibadah ini adalah :
"Barangsiapa yang mempunyai kemampuan tetapi tidak berqurban, maka janganlah dia menghampiri tempat solat kami" - hadith riwayat Ahmad

Zaid bin Arqam bertanya kepada Rasulullah s.a.w: "Apakah yang kita perolehi dengan berqurban?"  Rasulullah menjawab, "Sesungguhnya pada setiap bulu dikulitnya terdapat kenbaikan." -Hadith riwaya Ahmad dan Ibnu Majah.

Sepertimana tahun sebelumnya, abi turut terlibat dalam program ini.  Kali ini kata abi dia akan ke Vietnam.  InsyaAllah lembu-lembu ini akan disembelih sendiri oleh abi bersama petugas dari Malaysia. 


Senarai kadar Qurban/Akikah mengikut negara:

Jika ada yang berminat untuk turut serta dalam program ini, boleh hubungi umi (013-3623889) atau terus kepada wakil-wakil terlibat seperti tertera di dalam pamplet ini.





Jika perlukan maklumat lanjut, sila hubungi:




Saturday, October 23, 2010

  Nasi Kismis

Antara menu nasi yang paling digemari anak-anak di rumah ini ialah nasi kismis.  Umi ubahsuai resepi ini berdasarkan resepi nasi minyak yang biasa dibuat oleh kebanyakan ibu-ibu di rumah.  Oleh kerana anak-anak ini agak cerewet tak suka rempah ratus dalam nasi minyak tersebut, jadi resepi ini menepati citarasa mereka.  Bahan-bahannya pun ringkas sahaja, yang penting sedap dan berkhasiat.  Jom semak bahan-bahannya!


Nasi Kismis
oleh : umi of dapuraulad
Bahan-bahan :
2 pot beras - boleh guna beras biasa atau basmathi
air secukupnya
1/2 c susu segar
1 sb stok ayam
1 st sunquick oren
3 ulas bawang merah - mayang halus
2 ulas bawang putih - mayang halus
1/2 c kismis
3 sb marjerin - untuk menumis


Cara membuatnya:
1.  Basuh beras biar bersih dan toskan airnya.
2.  Masukkan beras ke dalam periuk, masukkan air, susu segar, stok ayam dan pekatan sunquick.
3.  Tanak nasi seperti biasa. 
4.  Sementara itu panaskan marjerin di dalam kuali.  Tumiskan bawang merah dan bawang putih biar wangi.
5.  Tuang tumisan bawang bersama marjerin tadi ke dalam periuk nasi.
6.  Kacau sekali sekala agar nasi masak sekata.
7.  Bila nasi tadi sudah hampir kering airnya, masukkan kismis.  Gaul rata dan tutup dengan tudung periuk.
8.  Biar seketika hingga nasi masak sepenuhnya.  Tutup api.

Jika perlukan maklumat lanjut, sila hubungi:




Friday, October 22, 2010

  Teh Arab

Untuk menghasilkan teh pudina Arab yang sebenar, mestilah menggunakan teh Arab juga.
Kebetulan abi beli banyak uncang teh Arab ini jenama Rabea ketika kunjungan ke Arab Saudi penghujung September lepas.  Jadi dapatlah kami menikmati rasa sejati teh pudina Arab ini.  


Keistimewaan teh Rabea ini ialah ia tanpa pewarna dan perisa tambahan, jadi tiada kesan karat teh pada cawan.  Berbeza kalau kita gunakan uncang teh Lipton atau Boh.  Selain dari rasa pudina, boleh juga dipelbagaikan dengan perahan lemon ataupun jus epal.  Cubalah!

Jika perlukan maklumat lanjut, sila hubungi:




Thursday, October 21, 2010

  Kakak lagi...

Syakirah memang suka bawa beg ke hulur ke hilir, pantang jumpa beg; kononnya nak pergi shopping.  Sebab itulah maksu Eni panggil dia 'shopaholic'.



Sekarang ini 'kakak' dah semakin pandai, hatta ubat pun dah tak payah umi suapkan; dia pandai makan sendiri.

Jika perlukan maklumat lanjut, sila hubungi:




Wednesday, October 20, 2010

  Non-baked cheesecake

Jarang umi buat non-baked cheesecake, anak-anak tak berapa menggemarinya.  Mungkin kerana rasa cheese yang tidak dimasak ini menyebabkan ia agak muak, tambahan pula resepi sebegini menggunakan serbuk gelatin yang berbau agak kurang enak.

Bila terjumpa resepi non-baked cheesecake ini di MyR kiriman Diana (yang terkenal dengan blog resepidiana tu..), katanya resepi ini diolah dari resepi asal di allrecipe.com.  Jadi, apakata kita cuba resepi ini pula.  Kebetulan bahan-bahannya pun semua dah ada.  Jom..!
Resepi asal boleh lihat di sini, umi tulis semula mengikut gaya umi membuatnya.

Bahan-bahan:
  • 3 cawan biskut digestive, dihancurkan
  • 2/3 cawan gula perang, dipadatkan
  • ¾ sudu teh serbuk kayu manis
  • 2/3 cawan mentega, dicairkan
  • 2 (8 oz) krim keju
  • 2 sudu makan chocolate emulco- umi ganti dengan jus lemon
  • 2 sudu besar serbuk gelatin
  • ½ cawan air panas
  • 2 cawan krim putar
  • 2/3 cawan gula
  • 1 tin strawberi topping - umi guna blueberry topping
Cara membuatnya:
1.  Hancurkan biskut, campur dengan gula perang, serbuk kayu manis dan mentega cair.
2.  Tekan ke acuan kek biar padat, sejukkan sebentar di dalam peti sejuk.
3.  Putar krim putar pada kelajuan tinggi sehingga kental, ketepikan sebentar (simpan dalam peti sejuk).
4.  Larutkan serbuk gelatin dengan air panas.  Untuk lebih mudah umi panaskan sebentar atas dapur supaya ia cepat larut, ketepikan.
5.  Putar krim keju, gula dan jus lemon biar kembang.
6.  Campurkan larutan gelatin dan kacau lagi.
7.  Masukkan pula krim putar dan kacau biar sebati.
8.  Tuangkan adunan ini ke atas lapisan biskut dalam acuan kek tadi.  Simpan dalam peti sejuk semalaman sebelum dikeluarkan dari acuan dan dihias dengan topping blueberry.

Jika perlukan maklumat lanjut, sila hubungi:




Tuesday, October 19, 2010

  Kek Oren Lembap

Sudah sekian lama umi tak buat kek oren.  Bila tengok buah oren yang tak habis-habis ini, umi membelek-belek buku resepi nak cari resepi yang sesuai.  Buka blog CMG ternampak pulak kek oren dia yang menawan itu.  Hmm..elok juga kita cuba ye!

Umi copy paste resepi itu di sini untuk rujukan akan datang.  Lain kali kakak Syaima' boleh buat sendiri tak payah umi tengokkan sebab resepi ini mudah sangat disediakan.

BAHAN-BAHANNYA :-)
130 gram mentega
1 cawan tepung naik sendiri (self raising flour)
1/2 cawan gula halus dan asingkan 1 camca besar
2 biji telur gred "A", asing putih dan kuning
1 biji oren, parut kulit (bahagian kuning sahaja) dan perah jus

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan oven pada suhu 175C, lenser bunt-pan dengan mentega, atau guna acuan silicone. Ketepikan.
  2. Putar mentega dan gula hingga putih, masukkan kuning telur satu persatu dan putar hingga gebu. Masukkan parutan kulit oren, putar sebati.
  3. Pada kelajuan sederhana, masukkan tepung berselang seli dengan jus oren, hingga habis, pastikan bahan terakhir ialah tepung. Putar rata. Ketepikan.
  4. Dalam mixing bowl yang bersih dan kering, putar putih telur hingga berbuih, masukkan 1 camca besar gula halus yang diasingkan dari 1/2 cawan tadi dan terus putar hingga kental.
  5. Gaul putih telur dalam adunan no 3 dengan kaedah kaup balik, hingga rata dan sebati. Tuang dalam acuan tadi dan bakar selama 40 - 45 minit, cucuk dengan lidi sate jika keluar bersih tanda kek anda telah masak. Keluarkan dari acuan dan sejukkan atas jaringan sepenuhnya..



 

     Lembut dan gebu sangat kek ini, memang digemari anak-anak.

    Jika perlukan maklumat lanjut, sila hubungi:




    Monday, October 18, 2010

      Sardin Pertima

    Resepi yang mudah dan ringkas, sesekali bertukar ke resepi 'ekspres' begini seronok juga.  Umi pertama kali makan sardin keluaran Pertima ini, tak sangka ia sedap!  Biasanya umi alah bila makan sardin dalam tin, tapi kalau mackerel  tu ok pulak.

    Ok, jom kita tengok bahan-bahan untuk resepi mudah ini.

    Bahan-bahan:
    1 tin sardin Pertima
    1 bawang besar- hiris
    1 biji tomato- potong baji kepada 6 bahagian
    sedikit air
    garam secukup rasa
    minyak untuk menumis

    Cara membuatnya:
    1.  Panaskan minyak dalam kuali, tumis bawang besar.
    2.  Buka tin sardin, tuangkan semua ikan sardin serta sosnya ke dalam kuali.
    3.  Tambah sedikit air, kacau sebentar.
    4.  Masukkan tomato dan sedikit garam.
    5.  Biar kuah masak sebentar kemudian tutup api.
    6.  Hidangkan.


    Jika perlukan maklumat lanjut, sila hubungi:




    Saturday, October 16, 2010

      Terung Besar

    Nenek datang tempohari bawakan sayur-sayuran dari kampung.  Antara yang nenek bawa ialah timun, keledek, kacang botor, pucuk manis dan terung besar ini.    Banyak juga yang nenek bawa, nampaknya lebih seminggu umi tak payah membeli sayur.  Kakak Syaima' hairan sebab tak pernah tengok terung sebesar ini.  Agaknya apa yang sesuai nak masak terung ini ye?

    Jika perlukan maklumat lanjut, sila hubungi:




    Friday, October 15, 2010

      Sayur dan sotong lada hitam

    Antara menu sayur yang cepat dan mudah disediakan adalah masak sayur dan sotong lada hitam ini.  Selalunya umi gunakan sayur campur seperti brokoli, cauliflower dan lobak merah.  Resepi mudah saja, yang penting sedap dan cepat.  Jom tengok bahan-bahannya!

    Bahan-bahan:
    Sayuran (apa sahaja yang sesuai)
    Sotong (untuk rencah, boleh guna seberapa banyak)- bersihkan
    seulas bawang putih -diketuk
    3 sb sos lada hitam
    minyak untuk menumis
    1 st tepung jagung - bancuh dengan sedikit air
    garam secukup rasa
    sedikit air

    Cara membuatnya:
    1. Tumis bawang putih biar wangi.
    2.  Masukkan sotong yang dikerat anggaran 1 inci panjang, masukkan sayur.
    3.  Masukkan pula sos lada hitam dan kacau rata.  Biarkan sebentar, tutup kuali dengan penutup supaya sayur cepat masak. Masukkan sedikit air untuk dapatkan kuahnya.
    4.  Tambahkan garam secukup rasa dan masukkan bancuhan tepung jagung supaya kuah menjadi pekat.
    5.  Tutup api.  Hidangkan bersama nasi panas.
    Publish Post


    Jika perlukan maklumat lanjut, sila hubungi:




    Thursday, October 14, 2010

      Kakak...

    Sejak 2 minggu kebelakangan ini Syakirah dah mula membahasakan dirinya 'kakak'.  Hairan juga umi macamana dia tahu bahawa dia akan jadi kakak tak lama lagi?  Sebenarnya tak ada siapa pun di kalangan kami yang memanggilnya dengan panggilan itu, dia sendiri yang 'terperasan' dia jadi kakak.

    Bila umi saja nak menguji dia, umi tanya "siapa kakak angkat tangan!" Cepat-cepat dia angkat tangan, tak toleh kiri-kanan dah!  Sekarang ini dah pandai mengadu jika ada abang-abang mengusik, dia datang mengadu " abang ical kacau kakak!"

    Jika perlukan maklumat lanjut, sila hubungi:




    Wednesday, October 13, 2010

      Puding Roti Dengan Pisang

    Resepi ini juga berguna bila nak habiskan roti dan pisang dengan mudah.  Idea asal dapat melalui MyR ciptaan Hazliza Hatta.  Sedap dan wangi sangat puding ini bila digandingkan bersama pisang.  Tambah lagi umi guna pisang emas yang manis dan wangi itu.
    Resepi asal boleh rujuk sini.  Versi di bawah adalah adptasi yang umi buat.


    Bahan-bahan:
    1 buku roti gardenia (besar). -umi guna 10 keping sahaja
    1 1/2 cawan susu cair.
    1 cawan air panas.
    3/4 cawan gula.
    5 biji telur (dipukul).
    secubit garam.
    1 sudu kecil esen vanilla.
    6 bj pisang (di ptg serong2-kecil).
    1 kotak kismis (ligo). -
    coklat rice(untuk ditabur di atas).-umi tak letak pun coklat rice

    Cara membuatnya:
    1.  Panaskan oven 170C.
    2.  Gris loyang pembakar
    3.  Larutkan gula dan air panas.
    4.  Rendam roti.  Masukkan bahan-bahan lain (kecuali pisang coklat rice jika digunakan).
    5.  Masukkan separuh adunan ke dalam loyang.  Umi lapiskan dengan potongan pisang dan tuang adunan roti, buat 2 lapisan
    6.  Bakar di dalam oven selama 45 minit atau sehingga puding masak.



    Jika perlukan maklumat lanjut, sila hubungi:




    Thursday, October 7, 2010

      Laksam

    Musim raya sudah sampai ke penghujung.  Hampir setiap minggu makan daging dan ayam, agak menjemukan dan tak berapa bagus untuk kesihatan.  Jadi minggu ini kita beralih kepada menu ikan pula.  Antara hidangan lengkap yang berasaskan ikan yang umi gemari adalah laksam.  Resepi asal dari Yani MyR.  Jom semak resepi;-)

    Bahan-bahan:
    3 c tepung beras
    1/2 c tepung gandum
    4 c air suam

    Kuah:
    6 ekor ikan kembung - rebus dan ambil isinya
    1 inci halia
    2 ulas bawang putih
    6 ulas bawang merah
    serbuk lada hitam
    santan pekat
    asam keping
    garam secukup rasa

    Ulam-ulaman:
    Timun, kacang panjang, taugeh, daun kesum, kobis - dipotong halus

    Bahan cili (jika mahu pedas, tambah lagi cili)
    Cili merah
    cili padi
    garam
    sedikit belacan

    Cara membuatnya:
    1. Laksam : Sebatikan semua bahan.  Sediakan periuk kukusan.  Ambil tudung periuk nipis dan sapukan sedikit minyak masak untuk mengelakkan aduanan melekat pada tudung periuk.
    2.  Ambil adunan dan tuang atas periuk (agak-agak melitupi tudung periuk itu) dan kukus selama 2 minit.  Pastikan api dapur sederhana supaya laksam tidak menggelembung.
    3.  Bila sudah masak, keluarkan tudung periuk tersebut.  Biarkan sebentar sebelum digulung supaya laksam menjadi licin dan cantik.
    4.  Ulang untuk seterusnya sehingga habis.
    5.  Kuah: Kisar isi ikan, bawang dan halia.  Masukkan ke periuk bersama santan pekat dan air secukupnya.  Masukkan lada hitam, garam.  Masak sehingga agak pekat dan menggelegak.  Tutup api.
    6.  Cili: Tumbuk semua bahan.



    Jika perlukan maklumat lanjut, sila hubungi:




    Wednesday, October 6, 2010

      Hersey's Chocolate Cheesecake

    Sempena ulangtahun abi baru-baru ini, umi buatkan kek keju coklat Hersey (tapi tak guna coklat Hersey pun sebenarnya).  Biasanya abi memang tak jamah kek keju sebab muak katanya, tapi kek ini berbeza.  Mungkin kerana kombinasi coklat yang agak banyak membuatkan rasa kek ini lebih sedap.  Tambahan pula umi tambah topping blueberry di atasnya, jadi ada rasa masam-masam manis.

     Jumpa resepi ini masa blogwalking ke blog kak zai.
    Minta izin ye kak zai, umi copy paste resepi yang best tu kat sini pula;-)

    HERSEY'S CHOCOLATE CHEESECAKE

    Bahan-bahan;

    Bahan sponge cake;

    1 cawan tepung
    1/4 cawan vegetable oil
    1 sudu kecil esen vanilla
    1/2 air suam
    2 biji telur putih
    1/2 sudu kecil cream of tartar
    3 sudu besar gula halus

    Saya buat base dr biskut disgestive

    lapisan bawah/crust
    100gm biskut disgestive/oreo/marrie(dikisar halus)
    60gm mentega (cairkan)

    cara-cara:

    gaul serbuk biskut dan mentega cair, tekan dlm acuan dan masukkan dlm peti sejuk selama 10 minit.

    Bahan B;

    200 gm cream cheese
    170 gm fresh cream
    170 gm yoghurt ( i guna perasa buah peach)
    1 sudu besar butter
    2 biji telur
    1/2 cawan gula halus
    3 sudu tepung
    1 sudu kecil esen vanilla
    2 bungkus kecil Chocolate Hershey's

    Cara-caranya;

    Untuk sponge cake; Buat macam biasa, pukul telur putih, cream of tartar dan gula sehingga kembang. Pada mangkuk lain blend vegetable oil, air,esen vanilla, tepung sehingga sebati, kemudian masukkan telur putih tadi dan gaulkan ke dalam tepung dengan menggunakan spatula sehingga sebati, masukkan ke dalam bekas dan bakar selama 15 minit.

    Untuk cheesecake; Pukul cream cheese , fresh cream, gula, butter sehingga kembang, masukkan telur, youghurt, even vanilla dan tepung , pukul lagi sehingga sebati. Kemudian bahagikan kepada 2 bahagian. Satu biarkan plan dan satu lagi di campur dengan chocolate hershey's yang telah dicairkan, gaulkan sehingga rata, kemudian masukkan sedikit lagi fresh cream ( dlm 1 sudu besar), gaul sehingga rata.

    Setelah cake siap bakar masukkan cheesecake yang plain dahulu ke dalam loyang tadi, kemudian bakar semula dengan menggunakan teknik, double boiling di dalam oven. Setelah 15 minit ke luarkan masukkan pula bahagian cheesecake chocolate tadi masak sehingga 25-30 minit, angkat sejukkan. Siap untuk di makan.

    Jika perlukan maklumat lanjut, sila hubungi:




    Wednesday, September 29, 2010

      Oreo cheesecake

    Sesekali makan kek keju macam ini boleh juga, tapi tak boleh makan banyak sebab cepat muak.  Resepi asal salin dari dapur kak ummi di Kuantan.  Senang sahaja nak buat kek ini rupanya, umi dah pernah buat dan poskan entry ummi):sebelum ini.  Nak tengok resepi asal di sini.  Apapun jika nak mencuba, resepi seperti berikut (minta izin salin resepi di sini ye kak!

    Bahan:-

    30 keping oreo cookies (buang cream tengah) - kisar halus
    1/4 cawan butter - cairkan

    Bahan Filling:-
    16 oz (2 cawan) cream cheese - lembutkan
    1/2 cawan gula halus
    1/2 sudu teh esen vanila
    1/2 cawan sour cream
    2 biji telor
    1 cawan oreo yang dicincang halus

    Cara Menyediakan:-


    Base :- gaulkan oreo kisar dengan butter cair rata-rata. Tekan dalam loyang yang telah digris dan dialas. Pre-heat oven pada suhu 180 Celcius.

    Filling:- Pukul cream cheese, gula dan esen vanila dengan kelajuan sederhana hingga benar-benar sebati. Masukkan sour cream dan pukul sebati. Masukkan telor satu persatu dan pukul sebati. Kemudian masukkan oreo yang telah dicincang halus tadi, kaup balikkan hingga rata. Bakar secara "steam bake" (letak loyang adunan dalam loyang lain yang berisi air) pada selama 45 minit/hingga bahagian tengah benar2 masak. Sejukkan sekurang-kurangnya selama 4 jam/bermalam.



    Umi buat 2 adunan dapat 2 biji kek untuk makan-makan raya ni.

    Jika perlukan maklumat lanjut, sila hubungi:




    Tuesday, September 28, 2010

      Roti Telur Berkeju

    Menu sarapan 3S (senang, sedap dan sihat), kegemaran anak-anak.  Umi pun suka buat sarapan macam ini, senang kerja.  Tapi kena makan panas-panas, masa keju tu sedang cair.  Resepi asal ambil dari hana yang duk kat Jepun tu, rujuk sini untuk resepi asal.

    Mudah saja resepinya, anak-anak pun boleh cuba buat sendiri.
    Bahan-bahan:
    • 4 keping roti
    • 1 biji telur
    • 2 keping slice cheese
    • 2 sudu minyak masak
    Cara membuatnya:
    1. Pukul telur di dalam mangkuk. 
    2. Ambil dua keping roti, potong bahagian tepi.
    3. Letak kepingan cheese di tengah-tengah 2 roti tadi. Belah kepada 2 bahagian. 
    4. Panaskan minyak. Celup roti ke dalam telur dan gorengkan di atas kuali.  Sebaiknya gunakan kuali tak melekat (non-stick frying pan).
    5. Balik-balikkan roti tersebut.
    6. Sedap dimakan panas-panas.
    Catitan: Boleh juga dipelbagaikan rasanya dengan menambah gula pada keju, atau salut dengan breadcrumb.

    Jika perlukan maklumat lanjut, sila hubungi:




    Monday, September 27, 2010

      Kek Pisang wangi

    Bila ada banyak pisang masak ranum begini, umi mesti buat kek pisang banyak-banyak dan beri pada jiran atau kawan pejabat. Anak-anak di rumah ini kurang gemar makan kek pisang, kalau buat pancake pun tak banyak menggunakan pisang.  Jadi cara paling mudah untuk menghabiskan pisang yang berlambak ni adalah dengan menukarkannya kepada kek pisang!

    Resepi kali ini umi reka sendiri, ini dah kira kes malas nak belek buku resepi.. apapun alhamdulillah menjadi jugak kek pisang ni!

    Bahan-bahan:
    6 biji pisang - dilenyek
    4 biji telur
    11/2 c gula halus
    1 c susu segar
    1 biji lemon - ambil jus
    150ml minyak jagung
    21/2 c tepung naik sendiri
    2 sb golden syrup
    1 st esen pisang

    Cara membuatnya:
    1.  Sediakan susu masam dengan cara mencampurkan jus lemon ke susu segar, biarkan 5 minit
    2.  Dalam mangkuk adunan, sebatikan telur dan gula halus.
    3.  Masukkan pisang yang telah dilenyek tadi.
    4.  Tambahkan golden syrup, susu masam dan esen pisang.
    5.  Gaul sebati tepung ke dalam adunan.
    6.  Akhir sekali masukkan minyak jagung. 
    7.  Tuang adunan ke dalam loyang dan dibakar pada suhu 160 C selama 45 minit atau sehingga kek masak.

    Memang wangi harum semerbak bila kek ini masak (agaknya bau ni sampai ke rumah jiran sebelah tak ye?).

    Jika perlukan maklumat lanjut, sila hubungi:




     

    Jom masak bersama anak-anak! Copyright © 2010 DapurAulad.blogspot.com