Tangani masalah dengan bijak - sambungan



Edisi sambungan dari entry lepas berkaitan masalah pengurusan rumahtangga. Kali ini saya nak kongsikan sedikit brainstorming mengenai 2 masalah berikutnya yang sering melanda hidup para ibu.  Antaranya:
1. Sterika baju.
Sterika baju ni sebenarnya bukan masalah besar jika hanya melibatkan 2 atau 3 orang ahli keluarga.  Tetapi jika ada mempunyai bilangan ahli keluarga yang ramai, bilangan anak-anak bersekolah juga ramai...sterika baju memang akan jadi masalah! Ada beberapa alternatif, antaranya latih setiap anak sterika baju sendiri, upah maid hujung minggu (weekend maid) untuk sterika baju, sterika baju pada hari tertentu (bukan setiap hari) dalam kuantiti yang banyak, hantar baju-baju untuk disterika ke kedai dobi, minta suami bantu sterika baju,... ada cadangan lain?
Saya sudah mencuba hampir kesemua alternatif yang disenarai tadi kecuali minta suami sterika baju sendiri.  Pengalaman saya dalam menangani masalah sterika baju ni, banyak perkara yang perlu saya pertimbangkan.  Antaranya isu berkaitan keselamatan jika minta anak-anak sterika baju sendiri, isu penggunaan elektrik yang tidak efisien terutama jika minta weekend maid, isu penggunaan masa yang tidak optimum juga jika memilih untuk sterika baju sekali harung. Pernah saya menggunakan khidmat weekend maid untuk kerja mencuci rumah dan sterika baju, namun saya amat tidak berpuashati dengan hasil kerja beliau dalam bab sterika baju ni.  Bukan sahaja tidak kemas (walau diajar berkali-kali) tetapi sangat membazirkan elektrik.  Mungkin dia bukan dilatih untuk kerja-kerja sebegitu.  Jadi saya memilih untuk sterika sendiri baju sekolah anak-anak dan juga baju kerja saya, sementara baju kerja suami saya hantar ke dobi untuk disterika. Dengan cara ini saya dapat menjimatkan masa, penggunaan eletrik juga dapat dijimatkan dan yang lebih penting lagi saya kurang stress melihat timbunan baju dalam bakul untuk disterika!


2. Sidai kain baju di ampaian.
Mesti ada yang ketawa jika saya katakan bab sidai kain baju pun boleh menjadi masalah dalam pengurusan rumahtangga, serius! Ada jiran saya yang baru sahaja kehilangan maid (kes maid lari dari rumah) dan mereka suami isteri membahagi tugas urusan rumahtangga; si suami kena sidai kain baju dan si isteri uruskan hal yang lain.  Menurut cerita kawan saya tadi, most of the time kain baju masih dalam bakul sehinggalah dia balik dari tempat kerja, kata suaminya dia tak sempat nak sidaikan sebelum ke tempat kerja. Menunjukkan bahawa kebanyakan suami (tak semua suami) memang tak sesuai nak buat kerja-kerja rumahtangga ni.

Apa cadangan anda?
Biarkan baju dalam bakul sehingga petang nanti baru disidai, minta anak-anak tolong, sidai kain baju waktu malam sebelum tidur, beli dryer supaya tak perlu sidai baju, sediakan penyangkut baju untuk setiap helai pakaian yang nak disidai,...ada cadangan lagi?

Saya memilih untuk mengagihkan tugasan menyidai dan mengangkat kain dijemuran kepada anak-anak. Biasa tugas menyidai diberi kepada Hakim manakala tugas mengangkat kain di jemuran diberi pula kepada Faisal. Tugasan ini digilirkan mengikut hari, 3 hari untuk Hakim dan Faisal, 3 hari lagi untuk Azzam dan Ammar.  Manakala hari lainnya saya minta mereka buat secara sukarela.  Biasanya Ammar dan Faisal memang suka nak bantu kerja-kerja begini terutama hujung minggu, maklumlah ada bonus menanti!  Kadang memang ada konflik, yang ditugaskan lambat atau protest tak nak buat kerja; maka saya sekat penggunaan Internet malah TV juga.  Kalau kerja-kerja rumah tak disiapkan, takde siapa pun yang dapat main game atau guna Internet atau tengok TV!  Sehingga ke hari ini peraturan yang saya buat ni berkesan untuk anak-anak saya.

Anda sebagai ibu bapa tentulah mempunyai kuasa dan pengaruh untuk menentukan peraturan tertentu yang perlu dipatuhi oleh ahli keluarga.  Jadi gunakan kuasa dan pengaruh tersebut bagi tujuan mendidik anak-anak di samping mengajar mereka sifat kerjasama, saling membantu, tanggungjawab dan sebagainya.  Janganlah terlalu dimuakan atau dimanjakan anak-anak sehingga mereka langsung tak boleh disuruh membantu kerja-kerja di rumah. 

Comments