Roti sarang lebah

Sudah banyak kali saya buat roti sarang lebah ini. Cuma asyik terlupa nak ambil gambar untuk koleksi blog. Tiap kali siap masak terus anak-anak terkam nak makan, kadang terus pekkan simpan dalam container. Kali ini tiba-tiba teringat nak ambil gambar.
Adunan doh macam biasa...saya setakat hari ini memang setia dengan resepi yang saya ambil dari blog spendwithpennies.com.  Walaupun begitu saya tulis semula resepi doh kat sini untuk mudahkan rujukan.

Bahan doh:
500g tepung roti
1 peket yis segera
1/2 c gula kastor
2/3 c mentega
1 c susu segar
1/2 st garam(saya tak letak sebab mentega sudah bergaram)
1 telur
2 sb susu pekat manis (tambahan)

Cara membuatnya:
1. Panaskan susu, mentega dan gula biar suam sahaja jangan didih pula. Ketepikan.
3. Dalam mangkuk adunan, sebatikan tepung dan yis.
4. Masukkan adunan susu tadi ke adunan tepung. Masukkan telur dan susu pekat.
5. Sebatikan adunan dan uli sehingga doh menjadi elastik.
6. Bila doh sudah sedia, terus bentukkan bebola kecil saiz yang dikehendaki dan susun atas loyang. Oh ya saya langkau proofing 45minit. Setakat ini doh saya tidak mengecewakan.
7. Gliskan sedikit bancuhan telur ke permukaan roti dan taburkan biji kuaci, bunga matahari dan bijan.
8. Biarkan roti ini mengembang 2 kali ganda anggaran 30 minit sebelum dibakar dalam oven 160 celsius selama 18-20minit atau permukaan roti keperangan.
9. Sebaik sahaja roti masak dan dikeluarkan dari oven, gliskan sedikit mentega pada permukaannya untuk mengekalkan lembapan roti. Bairkan sejuk terlebih dahulu sebelum disimpan dalan bekas yang sesuai.
10. Roti sarang lebah ini sedap dimakan dengan sos karamel.

Sos karamel
1/2 c gula perang
1/2 c susu segar
1/2 c whip cream
2 sb mentega
Esen vanila

Panaskan mentega dalam periuk sos. Masukkan gula perang. Biar gula larut. Masukkan susu dan cream. Kacau rata dan masukkan esen vanila. Biarkan sos sejuk seketika sebelum dicurahkan ke atas rotu sarang lebah.

Roti sarang lebah saya ni tak cukup biji bunga matahari dan kuaci. Dah makan dengan sos...dah licin baru teringat nak ambil gambar! Asyik lupa aje...kena buat lagi la nampaknya!

Comments