Cinnamon Roll Pudding

Gara-gara kemaruk cinnamon roll lagi. Dah buat cinnamon roll tak habis makan. Silapnya adalah kerana saya terlupa nak simpan cinnamon roll yang sudah keluar dari oven ni ke bekas bertutup. Jadi cinnamon ni jadi agak kering dan rasa padat kurang gebu keesokkannya.
Sayang pula tak dimakan, takkan nak buang begitu aje. Penat menguli roti masih tak hilang lagi ni hehe...

Fikir punya fikir punya fikir....terhasillah idea kreatif lagi innovatif ini. Iaitu...
Cinnamon Roll Pudding!
Jom kita bereksperimen!! (kerah anak-anak masuk dapur tolong umi buat eksperimen)

Bahan:
8 biji cinnamon roll
3c susu segar ( tukar dgn whipping cream lagu sedap ni)
1c gula perang
4 biji telur
1 st esen vanila
1/2 biji lemon perah airnya
Cinnamon tak perlu dimasukkan sebab dalam cinnamon roll dah ada.
Kalau nak tambahkan raisin pun boleh juga.

Cara membuatnya:
1. Sebatikan telur, gula, susu, esen vanila dan jus lemon dalam mangkuk besar.
2. Rendamkan cinnamon roll ke dalam bancuhan tadi. Saya patahkan cinnamon roll supaya ia mudah meresap.
3. Biarkan sebentar kira-kira 10minit. Sementara tu panaskan oven 175 celsius.
4. Tuang adunan ke dalam loyang bergris.
5. Bakar selama 35-40minit atau sehingga puding masak.
Semerbak bau cinnamon. Hmmm....harum dan menyelerakan!

patahkan cinnamon, rendam dalam bancuhan susu
ratakan dan tekan-tekan cinnamon roll supaya meresap sepenuhnya dalam bancuhan susu
dah siap!
Puding ini sedap dimakan bersama sos kastard.  Ada banyak versi resepi sos ini.  Ada yang guna whipping cream, ada guna susu cair, Ada yang guna egg yolk (kuning telur) dan ada yang guna tepung kastard.  Kali ini saya nak buat sos paling ringkas dan mudah. Bahannya pun ringkas sahaja (sebab dah tak sabar nak makan puding panas-panas ni).

Bahan sos kastard:
1 tin susu cair
2 sudu besar tepung kastard
3 sudu besar gula pasir (sesuaikan ikut tahap kemanisan yang disukai)
Saya kurangkan sukatan gula kerana cinnamon roll saya sudah bergula.
Cara: 
1. Sebatikan semua bahan di dalam periuk kecil.
2. Panaskan di atas api perlahan sambil dikacau perlahan supaya adunan tidak bergentel.
3. Biar didih sebentar dan tutup api.
4. Hidangkan bersama puding tadi.

Comments