Cepatnya masa berlalu...

Saban tahun berlalu terasa begitu pantas masa meninggalkan kita. Waktu mencecah tahun 2012 terasa begitu berat cabaran yang bakal ditempuh, anak-anak makin membesar dan ramai yang bersekolah. Ada anak yang sekolah menengah, sekolah rendah, ada di tadika dan ada juga di taska.  Tup-tup 2012 sudah berlabuh dan menutup tirai.

Era baru 2013 dengan cabaran lain pula. Kali ini 2 anak saya menginjak kaki ke sekolah menengah, 3 masih sekolah rendah, 2 di tadika dan hanya Imran seorang di taska.  Imran pun dah semakin petah bercakap, dah pandai bilang one, two three semua...

Bila duk bilang usia anak yang makin meningkat, seakan terlupa pula bahawa saya sendiri akan menambah usia memasuki era 40-an. Wahh...daku pun dah masuk grup makcik-makcik?  Ishh..rasa belum bersedia nak menempuh usia baru ni, tak cukup lagi ilmu di dada nak menghadapi cabaran berikutnya.
Semakin bertambah usia bermakna semakin dekat kita dengan kematian.  
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud "Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati."

Samada seseorang itu mahu mati atau tidak, kematian itu pasti akan datang. Tidak akan terlewat atau dipercepatkan walau sesaat. Sebab itu, dalam ajaran Islam, mengingati mati merupakan sesuatu yang dituntut. Mengingati mati mempunyai kelebihan yang tersendiri bagi orang yang hidup di dunia dan istimewanya untuk akhirat kelak.

Rasulullah s.a.w. sendiri sentiasa menyebut tentang kematian dan tidak kurang dari 20 kali dalam sehari. Malah Baginda pernah menyarankan kepada umatnya yang bermaksud, "Perbanyakkan mengingat-ingat tentang perkara yang menghapuskan kelazatan (maut)."

Ketika Rasulullah s.a.w. ditanya tentang siapakah orang yang pintar di antara manusia, jawab baginda, "Mereka itu ialah orang yang memperbanyakkan mengingati mati dan sentiasa bersedia untuk menghadapi kematian."

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, "Sesungguhnya orang mukmin itu, ketika dijemput oleh maut, digembirakan dengan memperolehi rahmat Allah, maka diapun amat suka untuk bertemu Allah, maka Allah S.W.T. pun suka bertemu dengannya. Manakala orang kafir pula ketika dijemput oleh maut, diberitakan kepadanya akan mendapat azab Allah, lalu dia pun benci bertemu Allah, maka Allah pun benci bertemu dengannya."

kredit

Comments