Sakit itu suatu rahmat...

Minggu lepas saya berada dalam keadaan yang tidak terurus dari segi jadual makan, jadual membaca dan agak kelam kabut menguruskan beberapa perkara yang di luar jangka.  Begitulah manusia, kita merancang, Allah jua merancang dan pastinya perancangan Allah yang terbaik.

Hari Rabu petang waktu ambil Imran dari taska, guru pengasuh bagitau bahawa taska akan ditutup sehingga Sabtu atas arahan Jabatan Kesihatan kerana ada kes penyakit berjangkit di taska.  Rupa-rupanya ada beberapa taska lain sekitar Shah Alam yang ditutup sementara atas alasan yang sama.  Kalut juga otak saya memikirkan macamana nak kendalikan anak-anak yang 'bercuti' dari taska ni, maklumlah kami suami isteri bekerja sepenuh masa dan tiada pembantu di rumah. Tambahan pula minggu tersebut jadual saya sangat padat dengan aktiviti Pusat Pengajian, aktiviti Pusat Penyelidikan dan juga aktiviti IKRAM Subang Jaya.  Belum lagi dicampur dengan aktiviti keluarga; 31 Mac keluarga besar kami buat kenduri hari jadi 5 orang serentak. Kebetulan pula Sabtu 31 Mac ada seminar wajib hadir di fakulti, juga serentak dengan seminar wanita yang kami anjurkan di Puchong Perdana. Ohh..seminar wanita ni saya mesti hadir kerana ia merupakan aktiviti terakhir saya bersama akhawat IKRAM Subang Jaya! Wahh..sibuknya saya waktu tu!

Risau, susah hati memikirkan macamana nak kendalikan anak-anak yang tak ke taska, nak hadir seminar, nak hadir ke fakulti lagi...Ya Allah bantulah hambamu ini, tunjukkan hamba jalan penyelesaian terbaik.

Takdir Allah mengatasi segalanya. Pukul 9 malam selesai solat Isya' badan saya mula menggigil kesejukan, hairan juga tiba-tiba aje jadi macam tu. Hingga pukul 3 pagi saya tak mampu lelapkan mata, sakit segala sendi-sendi badan. Keesokan pagi terus ke klinik minta nasihat doktor. Suhu agak tinggi 39.9 C, kata doktor besar kemungkinan viral fever dan doktor beri saya cuti sakit.

Bila dah sakit memang kena makan ubat, bukan makan supplement ye. Supplement makan waktu sihat, bukan waktu dah sakit teruk macam ni.

Sehingga Sabtu saya masih menggigil dan badan masih panas. Bila makan ubat ia agak reda sekejap namun akan panas semula selepas beberapa jam. Kesudahannya saya tak hadir ke kedua-dua seminar yang saya ingin sangat untuk hadir, namun apakan daya; Allah memberikan jalan penyelesaian dengan menganugerahkan 'sijil sakit' kepada saya. Penyelesaian yang perit tapi banyak hikmahnya, antaranya saya dapat bersama anak-anak di rumah tanpa risau mana nak hantar mereka sebab taska tutup sementara. Ohh perit juga nak jaga anak di rumah dengan keadaan badan tak berapa sihat ni, tapi saya yakin Allah beri saya penyelesaian terbaik! Alhamdulillah...!

Comments