Tips untuk mudahkan urusan di dapur sempena Ramadhan

Tak sabar-sabar rasanya menunggu kedatangan Ramadhan yang penuh berkat, bulan ibadah yang dijanjikan Allah pahala berlipat ganda.  Amat rugi jika kita tidak mengambil kesempatan Ramadhan untuk memperbanyakkan amal soleh, melipatgandakan tilawah al-Quran, bersedekah dan sebagainya.  Ibarat orang berniaga, bila mana ada peluang jualan gudang atau 'SALE 90%' atau 'buy 1 free 1', begitulah untungnya kalau kita buat satu kebajikan tapi ganjarannya 10 kali ganda.  Tentulah kita tak mahu ketinggalan untuk merebut 'sale' yang Allah tawarkan ini.  Bukan selalu boleh jumpa tawaran hebat begini, setahun hanya sekali.  Apatah lagi dalam sebulan puasa tu, ada pula malam yang cukup istimewa yang ganjarannya melebihi seribu bulan.  Ada ke orang yang sengaja-sengaja tak mahu ambil peluang begini?

Menjelang bulan puasa kaum ibu mula sibuk membuat persiapan dengan stok makanan, menu berbuka dan seumpamanya yang berkaitan dengan makan-minum.  Tak kurang juga yang sudah mula mempersiapkan kelengkapan untuk menyambut hari raya!  Ohh ruginya kalau kita hanya sibuk dengan persiapan duniawi tanpa merancang pengisian untuk ukhrawi. 

Bagaimana ibu-ibu merancang 'domestic plan' supaya masa kita tidak banyak dihabiskan di dapur? Apa kata kita baca cadangan persiapan menghadapi Ramadhan ini.  Umi pernah poskan entry ini Ramadhan tahun lepas di sini, jika nak baca versi asal boleh juga klik sini.  Versi di bawah adalah olahan yang umi permudahkan untuk umi praktikkan.

8 langkah perancangan untuk menghidupkan Ramadhan:

1. Panggil mesyuarat ahli keluarga.  Syaima' sebagai pencatat minit. Sebaiknya mesyuarat dibuat minggu terakhir sebelum Ramadhan.

2.  Sediakan cadangan menu iftar (berbuka puasa)

3.  Mulakan mesyuarat dengan hidangan juadah istimewa. Pilih menu yang digemari oleh semua ahli keluarga.  Maklumkan bahawa menu istimewa begini hanya dihidangkan sekali seminggu dan jika ada tetamu datang bertandang.

4.  Terangkan fadhilat dan keistimewaan Ramadhan, kenapa kita mahu bulan Ramadhan ini sebagai bulan khusus untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah.  Bahagian ini akan dikendalikan oleh abi. Abi juga akan terangkan kepada semua bahawa bulan ini bukan untuk banyakkan makan, sebaliknya untuk banyakkan ibadah. Kurangkan masa di dapur untuk menyediakan makanan dan mengemas.



5.  Bincang menu untuk berbuka dan bersahur.  Setiap ahli (tak termasuk Imran yang belum pandai bercakap la kan?) akan beritahu menu yang dia suka.  Umi akan senaraikan dan pilih menu yang paling common to everyone, semestinya menu sihat dan mudah disedia!


6.  Bincang juga jadual penyediaan makanan, umi akan sediakan menu utama, 2 orang akan bantu untuk hidang, 2 orang lagi bantu untuk mengemas.  Jadual boleh digilirkan mengikut hari.


7.  Jadual tugas hidang dan kemas ini akan ditampal di dapur.  Ada upah menunggu kalau tugasan dilakukan dengan sempurna.  Bab upah ini akan ditentukan oleh abi pula sebab selalunya abi yang keluarkan  budget hehe...!

8.  Setiap ahli keluarga akan praktikkan ucapan terima kasih dan penghargaan atas setiap sumbangan, kerjasama ahli yang lain dalam menjayakan tips Ramadhan ini.

Selamat berusaha ye ibu-ibu!

Comments