Berapa kali nak khatam Al-Quran


kredit kepada cikgu Nazri Samsudin

Ramadhan bakal menjelang, jom kita bersedia.

mengaji secara berjemaah

Dalam bulan Ramadhan ini, ramai orang berusaha untuk memperbanyakkan bacaan Al-Quran supaya dapat khatam sekurang-kurangnya sekali. Cuba kita lihat apa yang para ulama kita katakan tentang Khatam Al-Quran berdasarkan hadis-hadis Nabi SAW dan amalan para sahabat baginda:

1- Khatam Al-Quran sebanyak 8 kali dalam sehari, iaitu 4 kali pada waktu siang dan 4 kali pada waktu malam. Khatam seperti ini tidak lojik dan tidak dapat diterima akal.

Ataupun, khatam 4 kali, 3 kali, 2 kali atau sekali dalam sehari. Khatam seperti ini tidak diiktiraf oleh para sahabat Nabi dan juga tidak bertepatan dengan sunnah Nabi SAW.

Dalam satu hadis daripada Aishah RA, yang dikeluarkan oleh Ibnu Abi Daud daripada Muslim bin Mikhraq berkata:

Aku berkata kepada Aishah: “Sesungguhnya ada orang yang khatam Al-Quran dalam satu malam sebanyak dua atau tiga kali”

Lalu Aishah berkata: “Mereka telah baca tapi sebenarnya tak baca! Aku pernah bangun pada satu malam sepenuhnya bersama Rasulullah SAW, baginda membaca surah Al-Baqarah, Ali-Imran dan An-Nisa’, baginda tidak sampai ke suatu ayat yang menceritakan khabar gembira melainkan baginda berdoa mengharapkannya, dan baginda tidak sampai ke suatu ayat yang menceritakan khabar menakutkan melainkan baginda berdoa memohon perlindungan darinya”.
2- Khatam Al-Quran sebanyak 2 kali atau sekali dalam masa 3 hari. Yang ini baik dan bagus.

Dalam satu hadis daripada Abdullah bin Amr (Marfu’) pula, Rasulullah SAW pernah berkata:
“Tidaklah orang itu memahami (Al-Quran) apabila dia membaca (khatam) Al-Quran dalam masa kurang dari 3 hari”[Direkodkan oleh Abu Daud (no. 1394), Tirmizi (no. 2950): Hadis Hassan Sahih dan Ibnu Majah (no. 1347)]
Manakala daripada Ibnu Mas’ud (Mauquf), Rasulullah SAW berkata:
“Janganlah kamu membaca (khatam) Al-Quran dalam masa kurang dari 3 hari”
Said bin Al-Munzir pernah bertanya kepada Rasulullah SAW:
“Ya Rasulullah, bolehkah aku baca (khatam) Al-Quran dalam masa 3 hari?” Baginda menjawab: “Ya, jika engkau mampu”.
3- Khatam Al-Quran sekali dalam masa 4, 5, 6 atau 7 hari (seminggu). Inilah jalan pertengahan dan sebaik-baik perkara, yang telah dilakukan oleh ramai para sahabat Nabi.

Daripada Abdullah bin Amr berkata: Rasulullah SAW telah berkata kepadaku:
“Bacalah (khatam) Al-Quran dalam masa sebulan” Aku berkata: “Aku mampu lebih dari itu”

Baginda berkata lagi: “Bacalah (khatam) dalam masa 10 hari” Aku pun berkata: “Aku mampu lebih dari itu”

Baginda berkata: “Bacalah (khatam) dalam masa 7 hari dan janganlah lebih dari itu”.
[Disepakati oleh Imam Bukhari dan Muslim]

4- Khatam Al-Quran sekali dalam masa 8 atau 10 hari, sebulan atau 2 bulan:
Daripada Makhul berkata: Bahawasanya para sahabat Rasulullah SAW yang hebat-hebat membaca (khatam) Al-Quran dalam masa 7 hari, ada yang khatam sekali dalam sebulan, ada yang khatam sekali dalam 2 bulan dan ada yang lebih dari itu.

5- Khatam Al-Quran 2 kali dalam setahun:

Berkata Abu Laith As-Samarqandi dalam kitabnya “Bustanul Arifin”:
“Hendaklah orang yang membaca Al-Quran itu mengkhatamkannya 2 kali dalam setahun, jika dia tidak mampu lebih dari itu”.

Direkodkan oleh Hasan bin Ziyad daripada Abu Hanifah, beliau berkata:
“Sesiapa yang baca (khatam) Al-Quran sebanyak 2 kali dalam setahun, maka dia telah menunaikan haknya, kerana Nabi SAW telah membaca (Al-Quran) bersama Jibril semasa tahun baginda diwafatkan sebanyak 2 kali”.

Ada yang mengatakan makruh menangguhkan khatam melebihi 40 hari tanpa uzur, kerana Abdullah bin Amr pernah bertanya kepada Nabi SAW:
“Dalam masa berapa (hari) khatam Al-Quran?” Baginda menjawab: “Dalam masa 40 hari”.
[Direkodkan oleh Abu Daud (no. 1395) dan Tirmizi (no. 2948): Hadis Hassan Gharib]

Kesimpulan:
Ini semua berbeza mengikut keadaan individu masing-masing. Ada yang mampu baca banyak dan ada yang mampu baca sedikit.

Bagi siapa yang mampu baca sedikit, biarlah ia dapat berterusan pada setiap hari walaupun khatam lambat. Bagi siapa yang mampu baca banyak, janganlah sampai ke tahap ada rasa bosan dan putus asa atau tergesa-gesa kerana hendak khatam cepat sehingga tidak memahami dan menghayati kandungan Al-Quran.

Dr Solah Abdul Fattah Al-Khalidi, seorang ulama Tafsir di Jordan, telah memberi panduan untuk kita sentiasa berada di bawah naungan Al-Quran, dengan mengamalkan 3 wirid harian Al-Quran:

1- Wirid Tilawah: Iaitu membaca Al-Quran dengan memelihara adab-adabnya dengan tidak kurang dari 1 juzuk pada setiap hari supaya dapat khatam sekali pada setiap bulan.

2- Wirid Hafazan: Iaitu hendaklah kita berusaha untuk menghafaz 1-3 ayat pada setiap hari, diulang berkali-kali agar teguh hafazannya, supaya tidaklah berlalu beberapa tahun melainkan kita sudah dapat menghafaz keseluruhan Al-Quran dengan baik sekali.

3- Wirid Tadabbur: Iaitu dengan kita meneliti terjemahan, maksud dan tafsir beberapa ayat Al-Quran pada setiap hari (1-3 ayat) supaya dapat menghayati serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

Sumber:1) Sahih Bukhari dan Sahih Muslim
2) Sunan Abu Daud, Tirmizi, An-Nasai dan Ibnu Majah
3) Al-Qardhawi, Yusuf, Kaifa Nata’amal ma’al Quranil ‘Azim? m/s 184-186, Dar As-Syuruq: Kaherah (Cetakan Kedua Tahun 2000)
4) Al-Khalidi, Solah Abdul Fattah, Mafatih lit Ta’amul ma’al Quran, m/s 62-63, Maktabah Al-Manar: Az-Zarqa’, Jordan (Cetakan Pertama Tahun 1985)


Comments