Melatih anak kecil berpuasa

Ingat tak bila kali pertama anda mula berpuasa ketika zaman kanak-kanak? Seingat saya, masa darjah 3 baru saya mula berpuasa penuh sebulan Ramadhan. Ketika usia bawah 9 tahun rasanya saya hanya puasa beberapa hari atau separuh hari sahaja. Mak pula tak pernah paksa atau desak saya berpuasa.

Zaman ini kebanyakan ibubapa bangga jika anak kecil mereka mampu berpuasa seharian. Kadang anak 4 tahun sudah diajar puasa, bukan separuh hari tapi penuh sehari dari pagi hingga petang.
Kadang kasihan pula melihat anak seawal usia begini terpaksa berlapar seharian, kadang ada yang menangis minta susu!

Sebenarnya cara kita mengajar anak berpuasa agak silap dan tidak menepati saranan Rasulullah s.a.w.  Bagaimana Nabi menyuruh kita supaya mengajak anak bersolat ketika usia 7 tahun dan dibenarkan memukul jika tidak solat pada usia 10 tahun. Nabi suruh ajar anak solat, bukannya berpuasa kan?  Secara logiknya...ada tak orang yang solat tetapi tak puasa? Jarang kita jumpa kan?  Tapi yang biasa kita jumpa adalah orang yang puasa tetapi tidak solat.
Indahnya ajaran Islam sesuai dengan fitrah manusia. Kita boleh latih anak-anak kecil untuk cuba berpuasa sekadar menahan lapar dan dahaga selama beberapa jam sehari mengikut kesesuaian mereka. Ajarkan juga mereka adab menghormati orang lain berpuasa dengan cara tidak makan di hadapan mereka. InsyaAllah anak-anak akan mampu berpuasa penuh bila mereka meningkat usia nanti.

Tahun ini Imran mula belajar berpuasa. Dia terikut-ikut abang dan kakak berpuasa, tiada siapa yang desak pun. Tapi dia hanya bersahur sebaik sahaja dia bangun tidur, kadang pukul 7.30 pagi kadang pukul 9 pagi.  

Bagi Imran puasa ialah tak boleh makan, takboleh minum dan tak boleh korek hidung!

Comments