Ibadat sepanjang masa, tak penat ke?

Bayangkan jika seharian jadual kita hanya solat, puasa, solat, zikir, membaca al-Quran, zikir, solat tanpa henti. Tak ada masa untuk rehat, makan, tidur, bersembang, menulis blog, baca status kawan-kawan di facebook dan sebagainya. Tentu kita mengeluh dan tak sanggup nak teruskan hidup macam tu kan?

Syukurlah Islam telah meletakkan garis panduan hidup dengan jelas dan praktikal. Apa sahaja amal perbuatan kita selagi tidak bercanggah dengan syariat Allah akan dikira sebagai ibadah.  Makan dikira ibadah, tidur juga jadi ibadah, kahwin juga ibadah malah tulis entry di blog begini juga boleh jadi ibadah.

Jenis-jenis ibadah
Secara umumnya,Ibadah terbahagi kepada dua iaitu khusus dan umum:

Ibadah Khusus :
Merupakan perintah-perintah yang wajib dilakukan sebagaimana yang terkandung di dalam Rukun Islam seperti solat, puasa, zakat, haji dan beberapa amalan khusus seperti tilawah Al-Quran, zikir dan seumpamanya.

Ibadah Umum :

Segala perkara atau amalan selain daripada kumpulan ibadah khusus di atas yang dilakukan semata-mata untuk mencari keredhaan Allah. Ini termasuklah seluruh perbuatan manusia dalam kehidupan sehariannya. Contohnya bersedekah, menolong ibubapa, bekerja dan sebagainya.

Alhamdulillah... luas rupanya skop ibadah dalam Islam, tidak terbatas kepada amal ibadah khusus  semata-mata. Tapi ada syaratnya iaitu:



Syarat-syarat ibadah :
1. Amalan yang dilakukan hendaklah diakui Islam dan bersesuaian dengan hukum syarak.

2. Amalan hendaklah dikerjakan dengan niat yang baik - bagi memelihara kehormatan diri, menyenangkan keluarga, memanfaatkan ummat dan mamakmurkan bumi Allah.

3. Amalan hendaklah dibuat dengan seeloknya.

“Bahawa Allah suka apabila seseorang dari kamu membuat sesuatu kerja dengan memperelokkan kerjanya.” Al-hadith.

4. Ketika melakukan kerja hendaklah sentiasa mengikut hukum-hukum syariat dan batasnya, tidak menzalimi orang, tidak khianat, tidak menipu dan tidak menindas atau merampas hak orang lain.

5. Dalam mengerjakan sesuatu ibadah, tidak lalai dari ibadah yang wajib.

Amalan ibadah khusus diibaratkan sebagai akar pokok yang teguh, manakala ibadah umum merupakan ranting-rantingnya. Oleh itu akar mesti teguh barulah ranting jadi subur. Tak guna ranting menjalar tinggi tapi akar reput, roboh juga pokok itu akhirnya.


Bagaimana beribadah sepanjang hayat?
kredit
Secara amnya, kebanyakan manusia meninggal dunia antara usia 60 tahun ~ 70 tahun. Secara purata, manusia meninggal pada usia lebih kurang 65 tahun...
BALIGH merupakan permulaan untuk seseorang diperhitungkan amal baik atau buruknya selama hidup di dunia

Umur BALIGH…
Lelaki: ± 15 tahun
Wanita: ± 12 tahun

Usia yang ada untuk kita beribadah kepada-Nya, secara purata:
MATI – BALIGH = Baki Usia (yang seharusnya digunakan untuk beribadah)
Maka, 65 - 15 = 50 tahun

Jom kita buat kira-kira, 50 tahun (iaitu 458,000 jam) umur kita digunakan untuk apa?

1. Tidur ± 8 jam/hari

Dalam 50 tahun waktu yang digunakan untuk tidur =
18,250 hari (= 50 tahun) x 8 jam = 146,000 jam = 16 tahun 7 bulan; dibulatkan jadi 17 tahun

Logiknya: Alangkah sayangnya masa selama 17 tahun hanya digunakan untuk tidur, padahal kita akan tertidur dari dunia untuk selama-lamanya……

2. Waktu aktiviti kita di siang hari ± 12 jam

Dalam 50 tahun waktu yang digunakan untuk aktiviti-aktiviti lain seperti belajar, mengajar, bekerja, bersiar-siar dan lain-lain:

18,250 hari x 12 jam= 219,000 jam = 25 tahun

3. Waktu rehat lebih kurang 4 jam

Dalam 50 tahun waktu yang digunakan untuk rehat:

18,250 hari x 4 jam= 73,000 jam = 8 tahun

Maka, kita boleh rumuskan bahawa waktu TIDUR + AKTIVITI + REHAT;

17 tahun + 25 tahun + 8 tahun = 50 tahun

Comments