Beza Kualiti Lelaki dan Perempuan

Masyarakat dulu sangat memandang berat dan prihatin apabila ada anak gadis mereka yang belum bertemu jodoh melewati usia awal 20-an.  Tetapi pada zaman hari ini sudah menjadi lumrah, kebanyakan anak gadis berkahwin selepas usia 25 tahun.  Maklumlah pada usia 20-an kebanyakan kita masih bergelar pelajar atau pun baru berjinak-jinak dalam dunia pekerjaan.

Isu yang lebih utama umi nak bangkitkan di sini bukanlah faktor usia atau pada umur berapa anak gadis kita berkahwin.  Tapi persoalan kualiti yang lebih utama untuk kita perhatikan.  Kalau mak-mak zaman dulu amat pentingkan setiap anak gadis mereka dapat menguasai ilmu di dapur, mahir masak memasak dan beberapa kemahiran lain berkaitan pengurusan rumahtangga.  Malah sehingga ke zaman ini isu 'anak gadis harus pandai memasak' atau sekurang-kurangnya ada ilmu tentang perihal selok-belok di dapur.  Memang tidak dinafikan kualiti seorang wanita banyak berkisar di sekitar 'dunia dapurnya', malah sehingga ke hari ini kualiti tersebut masih dianggap sebagai kriteria utama dalam menentukan calon menantu.

Kadang-kadang kita agak berat sebelah bila mempersoalkan kecekapan seseorang bakal menantu yang kononnya tak kenal yang mana bawang merah, yang mana lengkuas dan sebagainya.  Bagaimana pula dengan anak teruna? Tentu tak adil kalau masyarakat hanya mengukur kualiti wanita sahaja.  Kaum lelaki lah yang sepatutnya diukur terlebih dahulu, dari segi kualiti solatnya, mampu atau tidak dia menjadi imam solat, bacaan Al-Quran dan seumpamanya.

Jadi kalau ukuran kualiti wanita mesti tahu memasak, ukuran kualiti lelaki mestilah layak menjadi imam solat.  Apa pandangan anda, setuju?

Sekadar peringatan moga-moga kita sentiasa berusaha meningkatkan kualiti diri kita. Didiklah anak-anak kita supaya biasa dengan urusan di dapur tanpa mengira samada lelaki atau perempuan.

Comments

Anonymous said…
ni yg dh umur 27 thn x kawin2 lagi ni.. ape cerita? haha
Nor said…
Anonymous : soalan tu perlu dijawab oleh empunya diri la kan? Kita hanya boleh menilai dari luar. Ada hikmahnya setiap yang berlaku cuma manusia sering terlupa atau sukar menilai hikmah