Thursday, May 26, 2011

  Tak sabar nak makan...

Umur Imran dah masuk 5 bulan setengah.  Sekarang ni asyik masukkan jari (kalau tak dapat tangan, masukkan jari kaki sekali..) ke dalam mulut, gatal gusi agaknya.  Kadang kasihan juga melihatnya, tak boleh tengok orang makan, dia pun ikut sama mengulum bibir.

susah nak fokus..kamera pun nak ditariknya!

Sabar ye Imran, tak lama lagi bila Imran dah cukup 6 bulan baru boleh cuba puri buah.  Kata pakar penyusuan; perut bayi kecil sangat kecil, sebesar biji guli sahaja.  Jadi 30ml susu ibu sebenarnya sudah mencukupi.  Keperluan penyusuan bayi juga tak banyak berubah sejak lahir hingga usia 6 bulan.  Bila dah masuk 6 bulan ni baru boleh diperkenalkan dengan makanan pejal, mulakan dengan buah dulu. Umi memang amalkan tabiat pemakanan begini untuk semua anak, mulakan dengan makanan yang Allah masak dulu (seperti buah) baru ditambah dengan makanan yang manusia masak.  Biar perut Imran sedia dulu untuk menerima makanan pejal yang lain.  Kakak berdua tu pun nak tumpang semangkuk hehehe... Naufal tak nak join sekali ke?

Jika perlukan maklumat lanjut, sila hubungi:




Wednesday, May 25, 2011

  Ignorance is kind..

Melayani karenah anak-anak memang penat.  Terutama anak yang berusia sekitar 3 - 5 tahun, peringkat umur begini memang sedang menguji kesabaran kita sebagai ibubapa.  Kadang kala anak-anak ini sengaja buat perangai kerana nak uji adakah kita benar-benar serius dengan apa yang kita cakap atau yang kita janjikan. 

Sebenarnya mereka buat begitu sebab mereka ingin menarik perhatian mak atau ayah sahaja.

Teringat umi kata-kata Dr Tengku Asmadi supaya kita tidak mengganjari perbuatan buruk anak.  Maksudnya jika kita pesan supaya anak tak beli apa-apa mainan waktu ikut keluar shopping, kemudian anak tadi merengek nakkan juga mainan, lebih hebat lagi dia turut berguling-guling menangis mintakan mainan.  Apa yang ibu/ayah buat?  Sesetengah ibu/ayah akan mengalah dan beri apa yang anak mahu setelah anak tadi buat perangai, dengan maksud supaya anak tadi berhenti menangis.  Rupanya tindakan tersebut salah, kerana anak-anak akan mempelajari satu perkara iaitu: 'kalau nak apa-apa mesti guling-guling nangis dulu baru dapat'.  Jadi ajaran salah ini akan tersemat dalam fikirannya dan itulah juga yang akan diamalkannya kelak.

Sepatutnya kita sebagai ibu/ayah perlu bertegas dengan anak, kalau ibu kata tidak maksudnya TIDAK, tak kira macam mana kamu nangis sekalipun.  Sebaliknya jika anak berbuat baik, kita perlu cepat-cepat beri perhatian, pujian atau dorongan 'pandainya anak ibu', dan sebagainya supaya anak belajar bahawa buat baik akan diganjari baik.  Begitu juga jika anak buat perangai buruk, kita buat tak nampak dan jangan beri perhatian padanya.  Cukup dengan isyarat yang menunjukkan bahawa kita tak restui perbuatannya itu.

Jika amalan ini kita terapkan dari rumah sejak awal lagi, insyaAllah tak akan timbul fenomena 'anak berguling menangis di pasaraya'.  yang penting, semua amalan ketegasan ini mesti dimulakan praktik di rumah kita, bukan di luar.

'model' entry hari ni belum mandi lagi..
Namun begitu kita sebagai ibu bapa perlu pandai menilai jenis permintaan atau kehendak anak tadi.  Jika permintaannya cuma sebotol air atau apa sahaja yang mampu kita tunaikan dan tidak keterlaluan; apa salahnya kita tunaikan.  Anak tetap anak yang masih belum sempurna akalnya dan berhak mendapat kasih sayang serta perhatian dari kedua ibu bapanya.

Jika perlukan maklumat lanjut, sila hubungi:




Tuesday, May 24, 2011

  RVC lagi..

Nampaknya sudah ada yang berani menempah kek merah baldu (Red velvet Cake) dari umi.  Cuak juga umi nak ambil tempahan ini, maklumlah kek ini popular, bimbang jika tak menepati citarasa seperti mana kek yang dijual di luar sana.

Terima kasih buat ummimusa yang sudi menempah kek ini.  Dapat jumpa Musa kejap je, dah lama tak jumpa dia. Zainab pun ada, tak sempat nak snap gambar mereka berdua.  Jadi tayang gambar kek ajelah ye!

belum siap deco lagi ni..

Jika perlukan maklumat lanjut, sila hubungi:




Monday, May 23, 2011

  Baked Potato Crackers

Jalan-jalan cari barang a.k.a shopping semalam jumpa biskut yang sangat sedap ini, kata anak-anak; biskut ni paling sedap yang mereka pernah rasa.

ini packaging nya..

nampak sungguh menyelerakan kan?
 Ohh tak boleh jadi ni. Umi kena usahakan supaya dapat buat biskut macam ni, atau yang seiras, hampir sama macam biskut ni.  Ye lah, biskut yang dijual macam ni selalunya mengandungi banyak bahan perisa dan bahan pengawet yang boleh memudaratkan kesihatan.
Jadi, apa kata kita cuba buat sendiri dengan olahan resepi yang lebih sihat, jom!

Untuk sementara ini umi tak akan siarkan resepi yang masih dalam peringkat percubaan atau eksperimen ini.  InsyaAllah bila dah dapat sukatan, bahan yang menepati citarasa seperti mana biskut asal, baru umi siarkan resepi dan cara membuatnya ye.

gilis biar nipis

terap dan letak atas dulang pembakar (lapik kertas)

ini hasil eksperimen pertama

guna penerap ini
Alhamdulillah percubaan pertama dah lulus dari segi rasa biskut tu, cuma tekstur dan kerangupannya belum lulus lagi.  Hm..kena buat eksperimen lagi dan lagi dan lagi...hingga berjaya (lepas ni boleh jual pulak hehe..)

Jika perlukan maklumat lanjut, sila hubungi:




Tuesday, May 17, 2011

  Lagu baru untuk Imran Syakir

Syifa' a.k.a kak teh (sebab dia putih) dan Syakirah a.k.a kak chik (sebab dia kecik) suka nyanyikan lagu untuk baby Imran a.k.a abg ucu (sebab suka minum susu).  Antara lagu yang kakak-kakak berdua ni nyanyi ialah lagu ni :

satu jari cha cha cha..
boleh jadi tanduk! (letak jari di kepala)
dua jari cha cha cha..
boleh jadi arnab!(letak jari di kepala)
tiga jari cha cha cha..
boleh jadi meow! (letak jari di pipi)
empat jari cha cha cha..
boleh jadi hantu (goyang jari depan muka)
lima jari cha cha cha..
boleh jadi bye-bye...(lambai tangan)


Abg ucu apalagi...ketawa terkekek-kekek..!
..........sweet sangat lagu ni...nyanyi sambil buat aksinya sekali!

Jika perlukan maklumat lanjut, sila hubungi:




  Rindu kat Naufal...

Kebiasaannya Imran minum 18-20oz seharian waktu tinggal di taska, sekarang ni dia hanya minum sekitar 13-16oz sahaja.  Setiap petang balik dari taska, mesti ada baki susu yang belum diminum ataupun yang telah diminum sebahagiannya.  Jika baki EBM tadi belum dibuka dan belum dipanaskan, umi akan simpan sebagai stok untuk esok, sebaliknya jika susu tersebut sudah diminum walaupun seteguk terpaksa dibuang begitu saja.  Bimbang jika bakteria dari air liur baby dah masuk dalam susu tadi.  Kadang rasa rugi juga nak buang baki susu tadi begitu saja, bukan senang ye ibu-ibu, nak dapatkan 1oz pun kena berusaha keras!

Alangkah baiknya kalau Naufal ada kat sini, boleh juga tolong habiskan susu ni hehe..


Umi perhatikan Imran agak kurang menyusu sekarang ni bukan kerana dia sakit atau perut meragam. Nampak dia kenyang dan happy je.. Sejak umi amalkan makan set penyusuan Shaklee ni, susu badan jadi lebih pekat, nutrisi susu bertambah. Sebab itulah Imran minum sekejap aje dah kenyang! Dan ini juga menjelaskan kenapa ada baki EBM setiap kali balik dari taska!

Ohh umi sangat gembira dan berpuashati menggunakan produk ini.  Jika ibu-ibu ingin merasakan pengalaman yang sama, jomlah mencuba set penyusuan ini. Untuk percubaan pertama harga RM80 ini sangat berbaloi.
Jika berminat, boleh sms umi di 013-3623889, insyaAllah berbaloi-baloi!

Jika perlukan maklumat lanjut, sila hubungi:




Monday, May 16, 2011

  Kek Coklat Untuk Cikgu

Hari ini 16 Mei merupakan hari yang cukup memberi kesan kepada semua guru di Malaysia.  Sempena hari guru ini umi terima tempahan 2 biji kek coklat untuk dibawa ke sekolah (2 sekolah berasingan).  Terima kasih kepada Pn Hani atas kepercayaan ini.  Umi sebenarnya sudah agak lama tidak menghias kek menggunakan coklat ni, jadi tangan agak kaku nak menghias ni (alasan..)

Sempena hari Guru ni, umi nak cuti masak (boleh?) sebab umi pun guru juga kan?  Jadi hari ni pos gambar kek aje, resepi esok-esok ye? Layan...

apa nak deco ni?


yg ni pulak macamana ye?
simple aje..

boleh tak ni Nadzmi?
Selamat Hari Guru buat semua guru samada kecil atau besar, tua atau muda.  Betulkan niat kita untuk mendidik anak-anak bangsa supaya kembali kepada fitrah, mengenal diri dan mengenal penciptanya. Moga tugas kita sebagai guru sebagai pendidik ini mendapat keredhaanNya.

Jika perlukan maklumat lanjut, sila hubungi:




  Red Velvet Cake akhirnya...

Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat semua yang masih sudi berkunjung ke dapur umi yang hampir seminggu menyepi.  Kesibukan menanda kertas periksa, mengejar dateline dan sebagainya di samping tugas hakiki di rumah menyebabkan umi terpaksa menyepikan diri sebentar.

Di celah kesibukan ini, hati tetap berbunga dan tak dapat menahan rasa  meluap-luap ingin mencuba kek merah baldu yang menjadi sebutan ramai ini.  Di sana-sini ramai blogger yang telah mencuba resepi kek merah ini dan memberikan respon yang memberangsangkan.

Akhirnya dapat juga umi mencari masa (waktu ni putera dan puteri semua dah masuk beradu), jadi apalagi...

Resepi kek merah baldu (Red Velvet Cake) ini mudah dicari melalui Internet, yang ini umi jumpa di blog cikmin dan juga dapur comel kak Zai.

Bahan-bahan:
A: ayak
250 tepung gandum
1 st serbuk penaik
1/2 st garam
2 sb serbuk koko

B: campur biar sebati
240ml buttermilk (jika takde, bancuh susu segar + 1st cuka, biar 10min)
2 sb pewarna merah -umi guna 1 sb shj

C:
113g mentega
2 telur gred A
300g gula kastor
1 st esen vanila

D:
1 st cuka makan
1 st soda bikarbonat

Topping:
227g cream cheese
227g mascarpone cheese -takde stok
1 st esen vanila
1 c gula aising
360ml whipped cream

Cara membuatnya:
1.  Putar mentega dan gula kastor biar kembang.  Masukkan telur satu persatu, perlahankan mixer.
2.  Masukkan esen vanila.
3.  Masukkan bahan A dan B secara berselang seli, mulakan dengan bahan A dan akhiri dengan bahan A juga.
4.  Dalam bekas kecil, masukkan bahan D.  Tunggu hingga buih cuka dan baking soda berhenti berdesir.  Tuangkan ke dalam adunan tadi.
5.  Tuang adunan ke dalam 2 loyang 9" yang telah digris dan dilapik kertas minyak.
6.  Bakar kek dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 170C selama 30 minit atau sehingga kek masak.
7.  Biar kek sejuk dahulu sebelum dihias dengan topping.

Cara membuat topping:
1.  Putar cream cheese dan mascarpone cheese biar gebu.
2.  Tambahkan esen vanila dan gula aising.  Putar lagi biar sebati
3.  Akhir sekali masukkan whipped cream dan putar biar likat.

guna 2 loyang 9"

lapiskan dengan sebahagian topping cheese, umi tambah blueberry

tambah pewarna pada topping cheese untuk deko, sungguh tak kreatif!

nampak lapisan cheese+blueberry di tengah? yummy..!

ini aje sepotong untuk naufal hehehe..
Sungguh berbaloi menghabiskan masa rehat yang ada dengan mencuba resepi ini.  Cubalah!

Jika perlukan maklumat lanjut, sila hubungi:




Saturday, May 7, 2011

  Milestones pertama dalam penyusuan bayi

Tempoh penyusuan yang disarankan dalam Islam adalah sehingga bayi berusia 2 tahun.  Seperti yang disebut dalam Al-Quran surah al-Baqarah ayat 233 yang bermaksud:

“Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, yaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. Dan kewajiban ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara ma’ruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan karena anaknya dan seorang ayah karena anaknya, dan warispun berkewajiban demikian. Apabila keduanya ingin menyapih (sebelum dua tahun) dengan kerelaan keduanya dan permusyawaratan, maka tidak ada dosa atas keduanya. Dan jika kamu ingin anakmu disusukan oleh orang lain, maka tidak ada dosa bagimu apabila kamu memberikan pembayaran menurut yang patut. Bertakwalah kamu kepada Allah dan ketahuilah bahwa Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan"

Bagi menjayakan penyusuan selama 2 tahun ini para ibu digalakkan meletakkan beberapa milestones sebagai penanda aras dan petunjuk prestasi penyusuan.  Milestones yang boleh diikuti adalah dalam tempoh masa seperti 3 bulan pertama, 6 bulan, setahun, satu tahun setengah dan seterusnya dua tahun.  Panduan ini umi perolehi melalui bacaan dan berkongsi pengalaman dengan para ibu menyusu yang lain.

Dalam 6 bulan pertama umi sedaya mungkin memastikan Imran dapat menyusu badan sepenuhnya tanpa minum air kosong, tanpa makanan bayi dan semestinya tanpa susu formula.  Tempoh 6 bulan pertama ini sangat penting kerana segala manfaat susu ibu hanya dapat diserap sepenuhnya jika bayi menyusu badan semata-mata tanpa tambahan makanan lain.  Ini kerana sistem pencernaan bayi yang masih lemah waktu ini. Jadi zat-zat dan khasiat susu ibu akan terserap dengan optimum jika lapisan sistem pencernaan bayi tidak diganggu dengan kehadiran unsur-unsur lain.  Jumlah susu yang diminum oleh bayi sejak umurnya sebulan hingga 6 bulan juga tidak banyak berbeza; sekitar 3-4oz setiap 2-3 jam.  Walaubagaimanapun jumlah ini boleh berubah bergantung kepada keadaan dan kesihatan bayi.  Ada hari dia agak meragam tak mahu tidur, mungkin perutnya tak selesa; jadi asyik nak 'gayut' aje.  Ada hari dia akan tidur lebih lama dari kebiasaan, jadi waktu minum (di nursery) pun miss.  Jika bayi ditinggalkan bersama pengasuh, kita perlu mengagak berapa banyak jumlah susu yang perlu dibekalkan untuk keperluan bayi berdasarkan tabiat penyusuannya.

Contohnya Imran tinggal di nursery selama hampir 9 jam, umi bekalkan 15-20oz.  Biasanya habis dia minum. Kadang kala stok susu habis lebih awal sebelum umi datang ambil Imran di taska.  Jadi umi pesan pada pengasuh supaya lekakan Imran (ajak dia main dan borak-borak) sementara tunggu umi sampai.  Alhamdulilllah setakat ini pengasuh di taska memberikan kerjasama dan memahami situasi umi.  Bukan mudah ye ibu-ibu, banyak juga cabaran nak menjayakan penyusuan penuh ini.  Ini baru cabaran dengan pengasuh, ada lagi cabaran-cabaran lain; insyaAllah akan umi kongsikan di sini.  Mudah-mudahan Allah mudahkan perjalanan dan niat suci kita dalam memberikan yang terbaik kepada anak.

baru masuk 5 bulan..

Jika perlukan maklumat lanjut, sila hubungi:




Friday, May 6, 2011

  Cream puff dan hari keluarga

Antara hidangan pastry yang sedap dan mudah disediakan serta menjadi kegemaran anak-anak iaitu cream puff dengan filling custard cheese. 
Masih lagi menggunakan resepi yang sama sumbangan zaliana of MyR, cuma umi gantikan filling jagung tersebut dengan cream cheese.  Jom kita semak resepi!

Resepi asal boleh rujuk sini.  Yang di bawah ini resepi versi umi pula:

Cream Puff with custard cheese filling
umi of dapuraulad

Cream puff:
125g tepung naik sendiri
100g mentega/marjerin
250ml air
1 sb gula
3 biji telur

Inti/filling cream cheese:
2c susu segar
150g cream cheese
10 sb gula halus
4 sb tepung kastard

Cara membuat initi/filling:
1. Sebatikan semua bahan.
2. Panaskan di atas api sederhana sehingga adunan menjadi likat.
3. Tutup api, sejukkan sebentar.

Cara membuatnya:
1. Panaskan air, gula dan mentega/marjerin biar mendidih di dalam kuali yang sesuai.
2. Masukkan tepung dan kacau biar sebati hingga adunan tidak melekat pada kuali.
3. Tutup api.  Sejukkan adunan sebentar.
4. Pindahkan adunan ke mangkuk pengadun/mixer.
5. Masukkan telur satu per satu dan adun biar sebati menggunakan mixer tersebut.
6. Masukkan adunan ini ke dalam piping bag dengan nozzle bintang.  Paipkan adunan ke atas loyang.
7. Semburkan sedikit air ke atas puff ini menggunakan spray.
8. Bakar di dalam oven yang telah dipanaskan terlebih dahulu dengan suhu 200C selama 15-20 minit.
9. Gunting sedikit bahagian tepi puff ini dan masukkan intinya.


Umi buat 2x adunan ini, menghasilkan lebih 100 biji cream puff.  Buat banyak begini untuk dibawa ke program Hari Keluarga KUIS yang berlangsung di Ulu Yam tempohari.  Banyak acara sukaneka kanak-kanak dan dewasa, ada juga cabutan bertuah yang mana setiap keluarga akan dapat hadiah.  Antara acara yang sempat umi rakam di sini ialah:

cari barang dalam tepung, kesian Azzam...

Alhamdulillah program berjalan lancar dan tamat sekitar pukul 2 petang.  Lepas solat Zohor anak-anak terus masuk sungai berendam sambil main air.

Jika perlukan maklumat lanjut, sila hubungi:




Wednesday, May 4, 2011

  Kehebatan susu ibu tiada yang seumpamanya

Rupa-rupanya susu ibu ini berbeza-beza rasanya mengikut jenis makanan yang dimakan oleh si ibu.  Contohnya kalau ibu makan durian, susu tersebut lebih lemak (ada bau macam durian sikit), jika ibu makan coklat, agaknya rasa susu macam more chocolatey hehe..
Jadi memang sungguh istimewa susu ibu yang sememangnya tidak dapat ditandingi oleh susu-susu lembu, soya dan sebagainya.

Sebagai ibu menyusu, anda harus merasa bangga kerana anugerah Allah ini hanya dikurniakan kepada ibu yang menyusukan.

Umi sangat bahagia dapat menyusukan Imran, sambil menyusu boleh tumpang lena sekali hehe.. (time menyusu sambil baring), kadang boleh jadi alasan untuk tidak keluar kemana-mana, juga boleh jadi alasan untuk bermalas-malasan(haha..).

Jika perlukan maklumat lanjut, sila hubungi:




Tuesday, May 3, 2011

  Sayonara..moga jumpa lagi

Naufal dan keluarga telah selamat terbang ke Jepun pada 1 Mei lepas.  Kami doakan moga perjalanan mereka dipermudahkan, selamat dan diberkatiNya.  Kecil-kecil lagi Naufal sudah belajar hidup diperantauan, bukannya mudah menjalani hidup di tempat orang.  Insyaallah tiga tahun akan datang kita akan bertemu lagi, waktu tu mesti Naufal dah malu-malu bila jumpa Imran, kan?

Ramai yang datang mengiringi pemergian mereka waktu di KLIA tempohari; atuk dan nenek dari Johor, atuk nenek Jerantut, pak uda sekeluarga, pak teh sekeluarga, cik wa, cik pi pun ada. 
kakak Syakirah malu-malu pulak!

Jika perlukan maklumat lanjut, sila hubungi:




  Muffin Coklat Sedap

Hujung minggu yang penuh dengan permintaan, ada yang minta umi buatkan pizza, ada yang minta kek coklat, ada yang minta mee udang dan macam-macam lagi.  At last umi decide nak buat muffin aje (hehe.. I'm the Chef in the house!), jadi ahli rumah terpaksa akur dengan keputusan Chef.  Ok, resepi muffin coklat ini sumbangan Yani of MyR, umi memang berkenan sangat dengan hasilnya.  Setakat ini memang setia dengan resepi ini.  Sesuai juga untuk dicuba bersama anak-anak, buatnya pun tak renyah.  Jom kita cuba!

MUFFIN COKLAT

Bahan-bahan
200g coklat masakan
70g mentega
2 biji telur
50g gula halus -umi kurangkan jadi 30g shj
60g tepung gandum
1 sudu kecil baking powder - kadang umi guna tepung naik sendiri, tak perlu masuk baking powder
-umi tambah coklat chip

Cara-caranya:
1. Cairkan coklat menggunakan kaedah "double boiler" .
2. Masukkan mentega ke dalam coklat yang sedang mencair tadi. Kacau sehingga mentega cair.
3. Dalam mangkuk lain, masukkan telur dan gula. Kacau biar sebati.
4. Masukkan telur ke dalam mangkuk berisi coklat yang telah dicairkan tadi. Kacau biar sebati.
5. Ayakkan tepung dan baking powder ke dalam mangkuk coklat. Gaul sehingga sebati.
6. Isikan adunan ke dalam bekas muffin sehingga 1/2 penuh atau 60% penuh.
7. Taburkan sedikit chip coklat di atas adunan. Bakar selama 20 minit.

Nota Yani: Selepas masak tu, mungkin muffin ni lembik sikit( sebab hanya sedikit tepung yg digunakan) tapi bila dah sejuk dia akan keras dengan sendiri. Jadi kalau lepas 20 minit tu, masih lembik tak payah bakar semula.

Senang aje kan? Umi dah siapkan bahan-bahannya, ambil apron dan posisi masing-masing, sedia...jom!

Sedap dimakan suam-suam, sambil minum teh O waktu petang.
ini umi punya!

Jika perlukan maklumat lanjut, sila hubungi:




 

Jom masak bersama anak-anak! Copyright © 2010 DapurAulad.blogspot.com